Sidang kemuncak G20 diadakan dengan protokol keselamatan ketat

Bernama
Oktober 29, 2021 15:01 MYT
Ditubuhkan pada 1999, G20 berperanan sebagai forum utama untuk kerjasama antarabangsa dalam isu kewangan dan ekonomi. - AP
ROM: Sidang kemuncak ekonomi Kumpulan 20 (G20) bakal membuka tirainya di Rom, Itali dengan protokol keselamatan yang ketat, bermula dengan Mesyuarat Bersama Menteri-menteri Kewangan dan Kesihatan G20 pada Jumaat, lapor Xinhua.
Menurut Itali selaku Presiden G20 sejak 1 Disember 2020, agenda sidang kemuncak kali ini merangkumi isu kesihatan dan ekonomi global terutama berkaitan pandemik COVID-19.
Ini termasuk keperluan untuk meningkatkan usaha bagi memastikan pengedaran vaksin COVID-19 yang adil dan saksama di peringkat global, terutamanya kepada negara berpendapatan rendah.
Pemimpin G20 juga dijangka membincangkan isu perubahan iklim, transformasi digital dan inovasi mampan, serta situasi di Afghanistan.
Memandangkan Sidang Kemuncak G20 dijadualkan berlangsung sebelum Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) di Glasgow, Scotland (31 Oktober - 12 November), pemimpin G20 dijangka membincangkan strategi bersama dalam menangani perubahan iklim.
Negara-negara G20 masih belum memuktamadkan mengenai sama ada mereka perlu komited untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius pada sekitar pertengahan abad dan juga mengenai masa proses penyahkarbonan yang berkaitan.
Langkah keselamatan yang ketat akan dikenakan di seluruh kawasan Pusat Konvensyen La Nuvola, Rom di daerah EUR, yang akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak G20.
Ruang udara Rom akan ditutup dari Khamis hingga 1 November, bagaimanapun lapangan terbang Fiumicino dan Ciampino di bandar ini dibenarkan beroperasi.
Seramai 500 anggota keselamatan termasuk tentera serta unit khas akan ditugaskan membantu pihak polis untuk memastikan keselamatan sepanjang sidang itu berlangsung.
Ditubuhkan pada 1999, G20 berperanan sebagai forum utama untuk kerjasama antarabangsa dalam isu kewangan dan ekonomi.
Ia terdiri 19 negara: Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, Jepun, India, Indonesia, Itali, Mexico, Rusia, Afrika Selatan, Arab Saudi, Korea Selatan, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah.
-- BERNAMA
#sidang kemuncak #G20 #Itali #kesihatan global
;