Sidang Kemuncak BRICS: Brazil gesa reformasi WHO, WTO

Astro Awani
November 18, 2020 08:10 MYT
Bolsonaro berkata WHO dan WTO perlu melakukan pembaharuan. - REUTERS
BRASILIA: Presiden Brazil, Jair Bolsonaro menggesa reformasi institusi antarabangsa pada Sidang Kemuncak BRICS yang diadakan dalam talian, pada Selasa.
Perkara itu disuarakan di hadapan pemimpin Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Bolsonaro berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) perlu melakukan pembaharuan.
"Sejak awal (dari pandemik koronavirus di seluruh dunia), saya telah mengkritik apabila menjadikan virus itu sesuatu yang politik dan monopoli pengetahuan yang luas oleh WHO yang perlu segera diperbaiki.
"Untuk memiliki komuniti antarabangsa yang benar-benar bersepadu dan aktif, kita harus mereformasi agensi antarabangsa, misalnya WHO dan WTO," katanya.
Senada dengan Bolsonaro ialah Perdana Menteri India, Narendra Modi yang turut menggesa pembaharuan kepada badan antarabangsa itu.
BACA: PBB perlu direformasi ikut realiti semasa - Modi
Dalam pada itu, pemimpin Brazil itu menyebut tentang kaedah baharu polis negara itu yang menggunakan isotop dari DNA untuk mencari asal usul kayu yang disita dari pembalakan haram.
Jelasnya, Brazil akan mengumumkan negara-negara yang telah mengimport kayu balak secara haram dari Amazon dalam masa terdekat.
Beliau percaya, langkah itu akan mengurangkan aktiviti pembalakan secara haram.
Operasi pembalakan, perlombongan dan penternakan haram menjadi punca kebakaran melanda di wilayah Amazon pada 2019 dan 2020.
Ini susulan langkah Bolsonaro yang dikatakan mahu membangunkan kawasan hutan hujan tropika itu.
#Narendra Modi #DNA #WHO #operasi #WTO #COVID-19
;