Sidang Kemuncak ASEAN: Tuntutan China, sekuriti makanan antara tumpuan persidangan - Zambry
Firdaus Azil
September 3, 2023 19:25 MYT
September 3, 2023 19:25 MYT
JAKARTA: Pertemuan antara pemimpin-pemimpin ASEAN dengan Perdana Menteri China, Li Qiang sewaktu Persidangan ASEAN + China ke-26 di sini, dijangka bakal menjadi tumpuan, susulan sikap agresif negara itu dalam isu Laut China Selatan sejak kebelakangan ini.
Namun, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan turut memberi tumpuan kepada ekonomi serantau, keselamatan makanan, dan kestabilan di rantau ini.
Katanya lagi, Malaysia lebih cenderung mengambil pendekatan menyediakan platform untuk penyelesaian sekiranya timbul perbincangan mengenai konflik, dan tindakan tersebut akan dilakukan mengikut rangka kerja ASEAN yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Dalam Sidang Kemuncak ASEAN, kita membincangkan tentang soal soal berkaitan bagaimana kita akan perkukuhkan lagi hubungan ekonomi yang sedia ada, apakah ruang yang boleh perbaiki dalam mengukuhkan hubungan antara negara.
“Sebagai contoh, keadaan pertumbuhan ekonomi yang berlaku di rantau kita dapat diperkukuhkan, isu rangkaian bekalan dunia. Kita hidup dalam ekonomi terbuka, jadi kita sebagai sebuah persatuan (ASEAN) perlu ada rasa tanggungjawab untuk melihat perkara ini dengan satu kesatuan, dan memastikan ASEAN sentiasa dilindungi,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada sidang media sempena Persidangan Kemuncak ASEAN kali ke-43 yang berlangsung di Jakarta 5 hingga 7 September ini.
Baru-baru ini media melaporkan, Peta Standard China 2023 yang diterbitkan Kementerian Sumber Asli negara itu jelas menunjukkan garisan yang melangkaui sempadan di Sabah dan Sarawak.
Selain dua wilayah Malaysia tersebut, garisan sempadan itu juga melepasi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam, selain beberapa kawasan di Arunachal Pradesh, Jammu dan Kashmir di India, dan wilayah Aksai Chin di Taiwan.
Agensi berita antarabangsa melaporkan, peta itu diterbitkan berdasarkan dakwaan Beijing bahawa jajahan mereka direkodkan seawal tahun 1940-an, namun sebelas garisan putus-putus yang mereka gunakan untuk menandai kawasan mereka telah dikurangkan kepada sembilan garisan sewaktu era Mao Zedong (1943 – 1976).
Susulan insiden tersebut, Kementerian Luar dilaporkan akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan negara itu di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam peta tersebut, yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia.
Dalam perkembangan berlainan, Zambry berkata, Perdana Menteri akan membawa visi Kerajaan Madani, bagi melihat sebarang kemungkinan kerjasama antara negara dalam blok ASEAN.
Beliau berkata, antara misi utama delegasi Malaysia kali ini ialah bagaimana memastikan ASEAN dapat dijadikan sebagai pusat perdagangan, pelaburan dan diplomasi bagi dunia, sejajar dengan tema Persidangan kali ini – “ASEAN Matters: Epicentrum of the Growth”.