Sidang kemuncak ASEAN: Tidak timbul isu tamatkan keahlian Myanmar
Astro Awani
Oktober 28, 2021 07:33 MYT
Oktober 28, 2021 07:33 MYT
TIDAK timbul persoalan untuk menamatkan keahlian Myanmar dalam ASEAN.
Demikian ditegaskan Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan melabuhkan tirainya menerusi sidang video pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau mengulangi gesaan supaya junta tentera Myanmar bekerjasama dengan utusan daripada ASEAN untuk meredakan krisis berdarah selepas rampasan kuasa Februari lalu.
Sultan Hassanal berkata, Myanmar masih "sebahagian daripada keluarga ASEAN" selepas jeneral tertingginya dihalang daripada sidang kemuncak dan junta enggan menghantar wakil jurucakapnya.
"Myanmar adalah sebahagian daripada keluarga ASEAN dan keahlian mereka tidak dipersoalkan.
"ASEAN akan sentiasa ada untuk Myanmar dan kami terus menawarkan bantuan kami melalui pelaksanaan konsensus lima perkara yang kami semua persetujui di Jakarta (pada April)," katanya pada sidang akhbar di Bandar Seri Begawan.
Sidang itu turut sama melibatkan pemimpin dunia lain. Brunei ialah Pengerusi ASEAN tahun ini.
Jelas Sultan Hassanal, ASEAN telah memberi Myanmar "ruang" pada mesyuarat itu, sambil memegang teguh prinsip yang termaktub dalam piagamnya, termasuk untuk tidak campur tangan.
Katanya, hanya rakyat Myanmar boleh menyelesaikan sepenuhnya keadaan dalaman negara itu.
Keengganan ASEAN untuk membenarkan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing mewakili Myanmar pada sidang kemuncak itu adalah teguran paling keras terhadap pemerintah tentera negara itu sejak mereka menggulingkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi.
Kecaman terhadap Myanmar dibuat selepas utusan blok itu dihalang daripada bertemu Suu Kyi dan tahanan politik lain sebagai sebahagian daripada cadangan dialog untuk meredakan krisis yang menyebabkan lebih 1,100 penunjuk perasaan anti-tentera terbunuh
Blok itu menggesa Myanmar memberi utusannya, Menteri Luar Kedua Brunei Erwan Yusof, akses penuh kepada semua pihak dan membebaskan tahanan politik.
Myanmar menegaskan utusan itu tidak boleh bertemu Suu Kyi dan beberapa yang lain kerana mereka menghadapi pertuduhan jenayah.
Sementara itu, pada sidang akhbar berasingan di KUALA LUMPUR, Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia adalah keputusan Myanmar untuk melangkaui sidang kemuncak berkenaan.
Katanya, tiada perbincangan dalam blok itu pada masa ini untuk melibatkan pembangkang politik kerajaan perpaduan nasional Myanmar, yang menganggap diri mereka sebagai kerajaan bayangan, dan yang akan bertemu dengan pegawai kanan Amerika Syarikat minggu ini.
"Sekiranya keadaan semasa berlarutan menjadi kebuntuan dan tiada keputusan boleh dibuat, maka kita harus melihat cara lain untuk mendapatkan hasil yang diinginkan," kata Saifuddin.