Sidang Kemuncak ASEAN: PM Anwar ketuai delegasi Malaysia, bawa mesej kesatuan

Firdaus Azil
September 3, 2023 17:41 MYT
Zambry berkata, ini merupakan Sidang Kemuncak yang pertama bagi Perdana Menteri bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN, iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada. - Gambar/ Astro AWANI
JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membawa mesej mengukuhkan lagi Kepusatan ASEAN di rantau Indo-Pasifik, sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, yang bakal berlangsung antara 5 hingga 7 September ini.
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, ini merupakan Sidang Kemuncak yang pertama bagi Perdana Menteri bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN, iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.
Selain itu beliau berkata, Perdana Menteri juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Zambry berkata, biarpun sifat agresif China dalam isu Laut China Selatan antara topik hangat masa kini, namun persidangan ini perlu dijadikan platform untuk konteks perbincangan yang lebih meluas, termasuk isu sekuriti makanan, ekonomi dan perubahan iklim.
“Dalam Sidang Kemuncak ASEAN, kita membincangkan tentang soal soal berkaitan bagaimana kita akan perkukuhkan lagi hubungan ekonomi yang sedia ada, apakah ruang yang boleh perbaiki dalam mengukuhkan hubungan antara negara.
“Sebagai contoh, keadaan pertumbuhan ekonomi yang berlaku di rantau kita dapat diperkukuhkan, isu rangkaian bekalan dunia. Kita hidup dalam ekonomi terbuka, jadi kita sebagai sebuah persatuan (ASEAN) perlu ada rasa tanggungjawab untuk melihat perkara ini dengan satu kesatuan, dan memastikan ASEAN sentiasa dilindungi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia seperti Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol; Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese; Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau; Perdana Menteri India, Narendra Modi; dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Selain itu Perdana Menteri juga akan menghadiri program Santai Anwar bersama Pengamal Media Sosial; dan Temu Anwar bersama rakyat Malaysia termasuk diaspora perniagaan di Jakarta.
#Anwar Ibrahim #Sidang Kemuncak ASEAN #Zambry Abdul Kadir #Isu Laut China Selatan
;