Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 buka tirai
Syafik Shukri Jalil
Oktober 9, 2024 10:30 MYT
Oktober 9, 2024 10:30 MYT
VIENTIANE: Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 dan Sidang-Sidang Berkaitan membuka tirai pagi ini di ibu negara Laos, dengan kehadiran pemimpin-pemimpin dari negara anggota blok itu.
Acara bermula dengan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan isteri menyambut kedatangan ketua-ketua negara ASEAN di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC).
Malaysia diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tiba di Vientiane pada Selasa malam.
Antara ketua negara ASEAN lain yang hadir termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Naib Presiden Indonesia, Ma’ruf Amin pula mewakili Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.
Untuk hari ini, Anwar dijangka menyampaikan Kenyataan Negara di Sesi Plenari Ketua Negara ASEAN selepas upacara perasmian.
Selepas itu, Perdana Menteri dijangka menghadiri beberapa persidang lain yang berkaitan termasuk ASEAN Leaders' Interface with Representative of ASEAN Inter-Parliamentary (AIPA), Mesyuarat Dua Hala bersama Perdana Menteri Timor Leste dan ASEAN Leaders' Interface with Representatives of ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC).
Selain itu, Anwar juga akan menghadiri ASEAN Leaders' Interface with Representatives of ASEAN Youth dan Mesyuarat Dua Hala dengan Perdana Menteri Singapura.
Mengakhiri tentatif hari ini, Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Makan Malam anjuran Duta Besar Malaysia ke Laos di Rumah Malaysia di Vientiane.