Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 bermula, Jokowi tegaskan kepentingan kestabilan serantau
Firdaus Azil
September 5, 2023 12:12 MYT
September 5, 2023 12:12 MYT
JAKARTA: Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan, yang dipengerusi Indonesia, bermula secara rasmi hari ini dengan upacara pembukaan gilang-gemilang hasil cetusan idea Presiden Joko Widodo.
Bertemakan ‘ASEAN Matters: Epicentrum of Growth’, persidangan yang disertai 10 wakil negara ASEAN dan rakan-rakan dialog itu bakal membincangkan tentang isu serantau antaranya kestabilan geopolitik; ekonomi serantau termasuk ekonomi digital; perubahan iklim; serta sekuriti makanan.
Terdahulu Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Jakarta Convention Centre (JCC) dan disambut secara rasmi oleh Jokowi dan isteri, Iriana.
Turut hadir ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr; Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone; Perdana Menteri Vietnam, Phạm Minh Chính; dan Presiden Timor Leste, Xanana Gusmao.
Perdana Menteri Cook Island, Mark Brown turut hadir atas kapasiti Pengerusi Forum Kepulauan Pasifik (PIF), dan Perdana Menteri Bangladesh, Mohamed Shahabuddin sebagai Pengerusi Indian Ocean Rim Association (IORA).
Sementara itu, Myanmar tidak dijemput kali ini susulan konflik hak asasi manusia yang sedang berlaku, manakala Thailand menghantar wakilnya, Setiausaha Tetap Kementerian Luar Thailand Sarun Charoensuwan memandangkan Perdana Menterinya yang baharu Srettha Thavisin belum mengangkat sumpah di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn.
Sementara itu Jokowi dalam ucapan pembukaannya mengingatkan negara-negara ASEAN tentang kepentingan untuk menghormati dan menerima perbezaan pendapat, dan seterusnya mengukuhkan lagi kesatuan serantau.
“Memiliki rasa kebanggaan yang sama, memiliki rasa kecintaan yang sama terhadap keluarga yang diberi nama ASEAN. Memang akhir-akhir ini saya sering mendengar pertanyaan publik terkait ASEAN, apakah ASEAN akan terpecah dan tidak bisa bersatu. Apakah kapal ASEAN mampu terus melaju?
“Sebagai anggota keluarga, dan sebagai ketua ASEAN, saya ingin menegaskan kesatuan ASEAN sampai saat ini masih terpelihara dengan baik.
“Di ASEAN berbeda, kesetaraan justeru menjadi value utama yang kita hormati dan kita junjung bersama dalam bingkai persatuan dan kebersamaan sehingga kapal besar ASEAN dapat terus melaju,” katanya lagi.
Dalam pada itu, selain menyertai hari pertama Sidang Kemuncak, Anwar dijadual untuk menghadiri Forum ASEAN-Indo Pasifik (AIPF), akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Selain itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia dan Indonesia melalui program Temu Anwar.
Anwar juga dijadualkan untuk menyertai enam sidang kemuncak pada Rabu iaitu ASEAN-China ke-26, ASEAN-Korea Selatan ke-24; ASEAN-Campur Tiga (APT) ke-26; ASEAN-Amerika Syarikat ke-11; dan ASEAN-Kanada bagi pelancaran Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada.