Sidang Kemuncak ASEAN ke-42: Anwar usul penubuhan Dana Kewangan Asia
Ridauddin Daud
Mei 10, 2023 13:49 MYT
Mei 10, 2023 13:49 MYT
LABUAN BAJO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan penubuhan Dana Kewangan Asia (AMF) sebagai usaha untuk meningkatkan keupayaan ekonomi rantau ASEAN.
Beliau menyampaikan pandangan itu pada sesi pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada Rabu.
Menurutnya, gangguan dan kelembapan ekonomi memerlukan ASEAN memanfaatkan kekuatannya dan menggalakkan daya tahan supaya dapat menjana pertumbuhan ekonomi lebih mampan.
“Menyedari keperluan untuk meningkatkan kemerdekaan ekonomi serantau dan jaringan keselamatan, saya telah menyeru penubuhan Dana Kewangan Asia (AMF).
“Mekanisme secara serantau sebegini akan dapat memahami lebih baik realiti dan keperluan negara-negara di rantau ini dan, dengan itu, mencadangkan langkah-langkah pemulihan yang lebih sesuai.
“Saya mengalu-alukan Deklarasi Pemimpin ASEAN berhubung Memajukan Ketersambungan Pembayaran Serantau dan Menggalakkan Transaksi Mata Wang Tempatan.
“Usaha itu akan meningkatkan penggunaan mata wang tempatan untuk menyokong perdagangan dan pelaburan rentas sempadan di ASEAN,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, beliau berharap selepas deklarasi berkaitan mata wang itu diterima, usaha seterusnya adalah menterjemahkan persetujuan itu ke dalam tindakan lebih konkrit.
Dalam ucapan sama, PM Anwar turut membangkitkan isu keamanan dan kestabilan rantau ASEAN yang setakat ini membawa banyak manfaat kepada rakyat.
"Pengerusi Jokowi telah berkata dalam ucapannya yang terus terang dan jelas mencabar pemimpin-pemimpin ASEAN untuk menumpukan perbincangannya pada imperatif bahawa ASEAN terus berwaspada dalam menjaga kebebasan, kemerdekaan dan maruahnya.
"Cabaran oleh Pengerusi itu termasuk kapasiti dan keazaman kami untuk mencari penyelesaian yang boleh dicari kepada isu Myanmar.
"Hasil daripada perundingan yang dilindungi ini, ahli khususnya Malaysia terpaksa bergelut dengan lebih 200,000 pelarian," ujarnya.
Dalam pada itu, PM Anwar berkata ASEAN perlu menunjukkan keyakinan dan kesediaan untuk merebut peluang bagi membawa perubahan yang menggalakkan kepada rakyat dan rantau.