Sidang kemuncak Asean jadi perhatian menjelang Komuniti Ekonomi Asean 2015

Bernama
November 12, 2014 13:09 MYT
Sidang kemuncak itu diadakan pada saat kritikal dalam sejarah Asean dengan hanya setahun sebelum penubuhan Komuniti Asean pada 2015. Foto Bernama
Dalam tempoh tidak sampai seminggu, rantau ini terus menjadi perhatian antarabangsa selepas mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang baru berakhir di Beijing kepada Sidang Kemuncak Asean di Nay Pyi Taw.
Antara pemimpin Asean yang menghadiri Apec dan kini, Sidang Kemuncak Asean ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di sini, lewat malam tadi dari Beijing.
Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Sidang Kemuncak Asean kali ini penting kerana ia diadakan sebelum pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean tahun depan dan Malaysia akan mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi Asean.
Sidang kemuncak itu diadakan pada saat kritikal dalam sejarah Asean dengan hanya setahun sebelum penubuhan Komuniti Asean pada 2015, menurut satu kenyataan Sekretariat Asean.
Semasa sidang kemuncak itu, pemimpin Asean juga akan disertai Ketua-ketua negara/kerajaan China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat, kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata sidang kemuncak itu yang bermula di sini hari ini, akan melibatkan perbincangan mendalam mengenai hala tuju masa depan Komuniti Asean selepas 2015.
Sidang kemuncak itu dijangka menerima pakai Deklarasi Nay Pyi Taw untuk Visi Komuniti Asean pasca 2015 dan ia akan menjadi asas penting dalam pembentukan visi pasca 2015 yang komprehensif bagi Asean tahun depan, katanya.
Selain itu, sidang kemuncak berkenaan juga akan menerima pakai Deklarasi Pengukuhan Sekretariat Asean dan Mengkaji Organisasi-organisasi Asean, yang bertujuan meningkatkan keupayaan, koordinasi dan sinergi institusi serta mekanisme Asean di tengah-tengah pertumbuhan dalam usaha membina komuniti serta landskap serantau yang pesat berubah, katanya.
Pada sidang kemuncak itu, isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan dan perhatian bersama akan menjadi agenda utama terutama bagi mereka yang mempunyai kesan signifikan terhadap keamanan dan kestabilan di rantau ini seperti isu Laut China Selatan, katanya.
Para pemimpin juga akan menerima pakai Kenyataan Bersama Asean mengenai Perubahan Iklim 2014.
Di samping itu, topik penting pada persidangan itu adalah mengatur pendekatan terbaik dalam meletakkan Asean secara strategik di tengah-tengah perubahan landskap serantau dari segi geo-ekonomi dan geo-politik, katanya.
Pemimpin Asean dijangka terus mengadakan perbincangan ke arah meningkatkan keutamaan dan kredibiliti Asean dalam struktur serantau yang berkembang dan penglibatan dengan rakan-rakan luar.
Tahun ini juga kali pertama Myanmar mempengerusikan Asean dan mesyuarat itu menjadi detik sejarah kepada negara berkenaan dan sejarah bagi Asean.
Sebagai Pengerusi Asean, ia dianggap detik yang sangat penting bagi Myanmar dalam proses pendemokrasian dan pembaharuan negara berkenaan, kata kenyataan itu.
Setiausaha Agung Asean, Le Luong Minh berkata: "2014 adalah tahun paling penting dalam menentukan pencapaian Komuniti Asean menjelang 2015 dan Myanmar telah memainkan peranan penting dalam mempercepat pelaksanaan tindakan-tindakan seterusnya untuk membina Komuniti Asean".
Beliau berkata Myanmar sebagai Pengerusi Asean juga telah menyediakan landasan kepada visi Komuniti Asean pasca 2015 dan usaha-usaha mengkaji dan mengukuhkan institusi Asean.
Asean ditubuhkan pada 1967 oleh lima negara pengasas iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.
Asean, kemudian disertai Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja menjadikan ia dianggotai 10 negara.
Sidang kemuncak itu adalah peringkat tertinggi Asean dalam membuat dasar dan jawatan pengerusi dipegang secara bergilir mengikut abjad dalam kalangan negara-negara anggota setiap tahun.
Pada 2015, Malaysia akan mengambil giliran sebagai Pengerusi Asean.
#ASEAN #komuniti #Malaysia #Myanmar #Najib Razak #Nay Pyi Taw
;