Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung 10-13 Nov di Phnom Penh
Bernama
November 4, 2022 04:16 MYT
November 4, 2022 04:16 MYT
BANGKOK: Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan bakal berlangsung di Phnom Penh, Kemboja bermula 10 hingga 13 Nov.
Kemboja selaku pengerusi ASEAN tahun ini akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan serta Dialog Global ASEAN kedua.
Sidang-sidang kemuncak berkaitan itu termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-25; Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-25; Sidang Kemuncak ASEAN-ROK ke-23; Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT) ke-25; Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-lndia sempena 30 tahun Hubungan Dialog; Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) ke-10; Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-2; Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Kanada; Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-17.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa memaklumkan Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni dijangka mengadakan pertemuan dengan ketua negara dan kerajaan ASEAN.
Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dan pemimpin ASEAN akan bertemu dengan wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA); Majlis Penasihat Perniagaan Belia ASEAN dan ASEAN (ASEAN-BAC ).
"Mereka juga akan menghadiri Dialog Global ASEAN kedua mengenai pemulihan pasca-COVID-19 yang dijangka disertai ketua beberapa organisasi antarabangsa utama.
"Pemimpin beberapa rakan dialog ASEAN juga dijangka menghadiri dialog itu," menurut kenyataan itu.
Selain itu Hun Sen turut akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa ketua delegasi.
Setakat ini, Presiden AS Joe Biden, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau antara pemimpin yang dijangka menghadiri sidang kemuncak itu.
Pada majlis penutup, Hun Sen akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Presiden Indonesia Joko Widodo.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Prak Sokhonn akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC) ke-25 dan Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) ke-31.
Beliau juga akan mempengerusikan majlis memeterai Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia oleh Sepanyol dan Ukraine.
-- BERNAMA