Sidang Kemuncak ASEAN akan datang perlu buat keputusan penting mengenai K5P - Saifuddin Abdullah
Bernama
Julai 29, 2022 16:53 MYT
Julai 29, 2022 16:53 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata Sidang Kemuncak ASEAN pada November ini perlu membuat keputusan amat penting mengenai Konsensus Lima Perkara (K5P) sama ada ia perlu diteruskan atau diperbaiki atau pun digantikan dengan yang baharu.
"Sehingga hari ini, K5P belum menunjukkan kemajuan yang nyata. Keganasan berterusan, malahan semakin teruk. Tiada perundingan yang inklusif dan adil antara semua pemegang taruh utama dalam dialog ASEAN-junta. Junta memonopoli dan mempolitikkan bantuan kemanusiaan.
"Setelah bertemu pelbagai pemegang taruh utama, termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC), dan usaha-usaha ini masih diteruskan, saya berpendapat ASEAN perlu mempunyai kerangka yang ada garisan penamat dan jelas perkara/proses yang perlu dibuat untuk menuju ke garisan penamat.
"Garisan penamatnya ialah Myanmar yang demokratik, inklusif dan adil, aman dan harmoni, makmur dan hak-hak sivil dan politiknya dijamin Perlembagaan," kata Saifuddin dalam hantaran terkini di Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata dalam konteks ini, ASEAN perlu memiliki maklumat yang tepat mengenai apa yang sebenarnya berlaku iaitu dengan memperoleh secara langsung daripada pihak-pihak terbabit.
Kemudian diikuti dengan perundingan yang inklusif dan adil oleh semua pemegang taruh utama dalam usaha mencari jalan melaksanakan kerangka ini, termasuk mengenai perkara/proses seperti bantuan kemanusiaan yang adil dan telus, pelan dan pihak pelaksana transisi (gencatan senjata, penstabilan dan transisi), perlembagaan rakyat dan pilihan raya yang bebas dan disepakati semua.
"ASEAN perlu berperanan sebagai fasilitator bersama-sama Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, dengan disertai sokongan komuniti antarabangsa," katanya
Sementara itu, Saifuddin berkata Malaysia akan mengemukakan dua isu ke mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di Phnom Penh pada 3 Ogos ini.
Pertama, Myanmar tidak dibenarkan menghantar wakil politik ke semua mesyuarat peringkat menteri ASEAN; dan yang kedua bermula dengan mesyuarat ini, sehingga Sidang Kemuncak ASEAN pada November nanti, satu kerangka dibincangkan bagi melaksanakan K5P.
Pada April 2021, ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing bersetuju untuk melaksanakan K5P antaranya menamatkan segera keganasan, mengadakan dialog dengan semua pemegang taruh, pelantikan utusan khas, dan membenarkan ASEAN memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Myanmar.
Sejak rampasan kuasa pada 1 Feb 2021, sekurang-kurangnya 2114 orang telah terbunuh. Pada hujung minggu lalu, junta menghukum mati empat aktivis prodemokrasi yang menerima kecaman hebat dari seluruh dunia.
-- BERNAMA