Sidang Kemuncak ASEAN 2023: Penyertaan Timor Leste, krisis Myanmar antara tumpuan - Zambry
Ridauddin Daud
Mei 8, 2023 18:23 MYT
Mei 8, 2023 18:23 MYT
LABUAN BAJO: Pelan hala tuju penyertaan Timor Leste ke dalam ASEAN antara perkara yang bakal menjadi tumpuan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia pada 9 hingga 11 Mei ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, selain itu, perbincangan perkembangan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara mengenai situasi di Myanmar juga akan diangkat dalam persidangan kali ini.
Kata beliau, isu-isu semasa lain yang menyentuh kepentingan bersama dan mungkin memberikan impak terhadap ASEAN juga dijangka disuarakan dalam persidangan selama tiga hari itu.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tiba ke Labuan Bajo pada Selasa bagi menghadiri persidangan yang bertemakan "ASEAN Matters : Epicentrum of Growth."
Sepanjang berada di Labuan Bajo, Perdana Menteri akan mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia – Filipina (BIMP-EAGA) dan juga menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
"Kedua-dua sidang kemuncak ini akan mengukuhkan lagi kerjasama yang menyasarkan kepada peningkatan aktiviti rentas sempadan dalam usaha meningkatkan lagi nilai perdagangan dan pelaburan di wilayah-wilayah tersebut," kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, Perdana Menteri juga dijangka menghadiri empat sesi pertemuan dengan wakil-wakil Belia ASEAN, Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Majlis Penasihat
Perniagaan ASEAN dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Mengenai Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025.
"Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 merupakan platform yang baik kepada semua negara anggota ASEAN untuk membincangkan hala tuju ASEAN dan usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN.
"Ia merangkumi Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025 serta Pelan-Pelan Tindakan untuk ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN, iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.
"Doakan semoga Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 kali ini akan berjalan lancar dan dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara negara-negara ASEAN dan seterusnya memperhebat gagasan ASEAN di peringkat global," ujarnya.