Sidang Kemuncak Arab: Ketua PBB tekankan keperluan rangka kerja politik jelas untuk pembinaan semula Gaza

Bernama
Mac 4, 2025 06:30 MYT
Abdel Fattah (kanan) menyambut ketibaan Guterres ketika Mesir menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Liga Arab untuk membincangkan perkembangan di Palestin di Kaherah, 4 Mac 2025. - REUTERS
ISTANBUL: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pada Selasa menekankan keperluan untuk rangka kerja politik yang jelas bagi membangunkan semula Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Beliau menyuarakan perkara itu dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Liga Arab yang berlangsung di ibu negara Mesir, Kaherah, bagi membincangkan usaha pembinaan semula Gaza.
Ketua PBB itu berkata, pemulihan, pembinaan semula dan kestabilan Gaza perlu berlandaskan prinsip undang-undang antarabangsa serta mempunyai rangka kerja politik yang jelas.
Para pemimpin Arab berhimpun di Kaherah pada Selasa bagi menghadiri sidang kemuncak tergempar itu yang bertujuan menangani usaha pembinaan semula Gaza dan menggerakkan sokongan terhadap rancangan pemulihan yang dikemukakan Mesir.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, turut membentangkan pelan pembinaan semula Gaza pada sidang berkenaan dengan menegaskan bahawa usaha pemulihan harus dilaksanakan tanpa sebarang pemindahan penduduk Palestin.
Beliau menggesa sokongan antarabangsa dan serantau terhadap inisiatif itu serta menegaskan komitmen Mesir dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.
- BERNAMA
#sidang kemuncak arab #pembinaan semula Gaza #Antonio Guterres #Abdel Fattah al-Sisi
;