Sidang kemuncak Afrika gesa siasatan bebas terhadap pencabulan Israel di Gaza
Bernama
Februari 19, 2024 16:25 MYT
Februari 19, 2024 16:25 MYT
AMMAN: Sidang kemuncak Kesatuan Afrika pada Ahad menggesa siasatan bebas antarabangsa dilakukan terhadap pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh Israel di Gaza, termasuk penggunaan senjata yang diharamkan selain menyasarkan hospital dan saluran media dalam perangnya di Semenanjung Gaza.
Berlangsung di Addis Ababa ibu negara Ethiopia, Sidang kemuncak itu turut menggesa Israel menyahut seruan antarabangsa untuk gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza dan mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi mencegah pembunuhan beramai-ramai dan menarik balik kepungan yang tidak adil di wilayah itu, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).
Sidang kemuncak itu juga mengutuk perang kejam Israel dan penggunaan kekerasan yang berlebihan terhadap 2.2 juta orang awam yang tidak bersenjata dan mengecam hukuman kolektif terhadap orang awam di Gaza dan percubaan untuk memindahkan mereka secara paksa ke Semenanjung Sinai.
-- BERNAMA