Sidang G20: Jerman bimbang vaksin COVID-19 tidak diberi secara saksama
Agensi
November 22, 2020 07:07 MYT
November 22, 2020 07:07 MYT
BERLIN: Canselor Jerman, Angela Merkel menyifatkan pandemik COVID-19 sebagai cabaran terbesar dihadapi ketika ini dan menzahirkan kebimbangan berhubung pengedaran vaksin yang adil dan saksama.
Merkel berkata bukan sahaja penting untuk Eropah mendapat akses kepada vaksin, malah seluruh dunia.
“Mujur sudah ada harapan untuk vaksin, dan ia membawa kepada soalan berhubung akses kepada vaksin.
“Bukan sahaja untuk kami di Eropah, tetapi adalah penting menyediakan akses ini kepada semua negara.
"Ini sudah disahkan oleh peserta negara anggota Kumpulan 20 (G20) dari Afrika dan Rwanda.
“Jerman sudah menyumbang kepada inisiatif Covax, tetapi masih banyak dana diperlukan bagi tujuan itu,” katanya.
Jelas Merkel, Jerman memberi sokongan kewangan kepada inisiatif vaksin Covax bagi membolehkan negara miskin turut mendapat akses vaksin.
Namun, beliau akui dana lebih besar perlu disediakan bagi tujuan itu.