SIBF 2021 bermula, alu-alukan ketibaan penerbit, pengkarya dari seluruh dunia
Bernama
November 3, 2021 06:36 MYT
November 3, 2021 06:36 MYT
SHARJAH: Pesta Buku Antarabangsa Sharjah (SIBF) 2021 yang bermula pada Rabu menyaksikan penyertaan 1,632 syarikat penerbitan dari bumi Arab dan asing di Pusat Ekspo Sharjah dengan tema 'There's always a right book.'
Dianjurkan oleh Sharjah Book Authority (SBA), pesta buku ketiga terbesar di dunia itu berlangsung sehingga 13 Nov ini dengan menghimpunkan sejumlah 85 penulis, artis dan golongan kreatif dari 22 negara serta menyediakan 970 acara termasuk sesi kebudayaan, pertunjukan, persembahan, seminar dan bengkel.
Ahli Majlis Tertinggi dan Pemerintah Sharjah Sheikh Dr Sultan bin Muhammad Al Qasimi merasmikan edisi ke-40 SIBF itu pada Selasa.
Pengerusi SBA Ahmed bin Rakkad Al Ameri dalam ucaptama semalam memuji wawasan Pemerintah Sharjah yang berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa hasil projek kebudayaan itu telah memperkukuh kedudukan Sharjah sebagai ibu kota budaya dunia Arab.
Beliau berkata Sheikh Dr Sultan telah menzahirkan keyakinan dan membayangkan kesan sebenar budaya sejak sekian lama sebelum negara lain mengiktiraf kuasanya yang lembut namun ketara.
"Saya masih ingat ketika baginda bertitah bahawa projek kebudayaan sesebuah negara adalah bersifat jangka panjang dan hasilnya tidak dapat direalisasi dalam tempoh setahun dua. Saya masih ingat titah baginda yang menekankan bahawa projek kebudayaan bukan hanya untuk meraikan pengarang dan buku sebaliknya ia adalah satu perjalanan panjang yang akan memanfaatkan mereka yang benar-benar mempercayainya.
"Hari ini selepas 40 tahun, Sharjah dan orang Arab berhak untuk berasa bangga... SIBF telah muncul sebagai pesta buku utama dunia pada tahun ini kerana menyaksikan jumlah tertinggi dalam urus niaga pembelian dan penjualan hak penerbitan," katanya.
Beliau berkata kekuatan dan keindahan kesusasteraan Arab telah merentasi sempadan geografi dan linguistik berkat Anugerah Terjemahan Sharjah Turjuman berprestij yang diperkenal pada 2011 bagi mempromosi karya Arab secara global.
Katanya karya kreatif penyair, intelektual dan penulis Sharjah kini mendapat tempat di hati pembaca antarabangsa dan setakat ini, anugerah itu telah menerima 16,490 permohonan untuk terjemahan daripada dan kepada Bahasa Arab serta menyaksikan sejumlah 1,493 buku diterbitkan.
SIBF 2021 menampilkan lebih 15 juta buku sepanjang tempoh 11 hari pesta yang diadakan bagi meraikan sastera, ilmu dan budaya itu.
-- BERNAMA