Siasatan menyeluruh serangan bom kereta di Turki
Astro Awani
Mei 14, 2013 12:12 MYT
Mei 14, 2013 12:12 MYT
Pihak berkuasa Turki masih menjalankan siasatan di lokasi serangan bom kereta di Reyhanli susulan beberapa mayat baru yang ditemui di sekitar lokasi pengeboman.
Bagaimanapun jumlah sebenar mangsa baru yang dijumpai masih belum didedahkan penguatkuasa tempatan.
Menurut penduduk tempatan, Huseyin Turkmen, lebih tiga mayat baru dijumpai di bawah rimbunan batu bata.
“Hari ini adalah hari kedua selepas letupan. Masih ada mayat-mayat yang ditemui daripada pembentung di depan Pejabat Pos. Setengah jam lalu 3 mayat dijumpai dan mereka masih meneruskan pencarian. Polis masih menyiasat, tetapi kami tidak tahu sejauh mana siasatan berkenaan,” kata Huseyin kepada pemberita.
Pada masa sama penduduk tempatan dikatakan mula berasa sangsi dengan kehadiran penduduk Syria.
“Rakyat Syria menjadikan Reyhanli sebagai pusat perdagangan. Mereka membuka kedai dan membeli rumah di sini. Mereka patut dihantar ke kem pelarian. Saya pasti serangan ini berpunca daripada kewujudan mereka di sini,” tambahnya.
Angka kematain rasmi yang diumumkan setakat ini seramai 46 nyawa.
Sementara itu, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan negaranya tidak akan terperangkap dengan ‘taktik kotor’ pihak tertentu untuk mengheret negara itu ke dalam konflik berdarah Syria.
Serangan di Reyhanli merupakan keganasan terbesar merentasi sempadan Turki sejak konflik Syria tercetus.