Siasatan bersama dijalankan selepas suami Pelosi diserang dalam kejadian pecah rumah

Bernama
Oktober 29, 2022 12:20 MYT
Polis Capitol AS membantu Biro Penyiasatan Persekutuan dan Polis San Francisco dalam siasatan bersama ke atas insiden itu. - AP
WASHINGTON: Siasatan bersama sedang dijalankan selepas suami Speaker Dewan Rakyat AS Nancy Pelosi diserang semasa kejadian pecah rumah awal pagi Jumaat, lapor Xinhua.
Polis Capitol AS dalam kenyataan akhbar berkata, pasukan itu membantu Biro Penyiasatan Persekutuan dan Polis San Francisco dalam siasatan bersama ke atas insiden itu.
Suami Nancy, Paul Pelosi, "diserang dengan ganas" dengan tukul oleh seorang individu yang memecah masuk rumah mereka di San Francisco, California, menurut seorang jurucakap.
Penyerang sudah ditahan. Paul Pelosi, 82, "menjalani pembedahan untuk merawat keretakan tengkorak dan kecederaan serius pada lengan kanan dan tangannya", di Hospital Besar Zuckerberg San Francisco, kata jurucakap itu dalam kenyataan.
Beliau dijangka pulih sepenuhnya.
Nancy Pelosi, calon kedua dalam barisan pengganti jawatan presiden AS, berada di Washington, D.C., dengan butiran perjalanannya dirahsiakan ketika kejadian pecah masuk, kata Polis Capitol.
David DePape, 42, dikenal pasti oleh polis sebagai suspek dalam serangan terhadap Paul Pelosi dan akan didakwa atas tuduhan termasuk cubaan membunuh, menyerang, dan penderaan warga emas.
Ketua Polis San Francisco William Scott memberitahu pemberita bahawa motif serangan itu masih disiasat.
White House dalam satu kenyataan pada hari Jumaat berkata Presiden AS Joe Biden telah menghubungi Nancy Pelosi untuk "menyatakan sokongannya selepas serangan ngeri ini".
Biden juga "mengutuk semua keganasan", menurut kenyataan White House.
-- BERNAMA
#Nancy Pelosi #Paul Pelosi #pecah rumah #insiden serangan
;