AS siasat wabak E. coli berkaitan lobak merah organik
Bernama
November 18, 2024 15:37 MYT
November 18, 2024 15:37 MYT
LOS ANGELES: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai wabak E. coli baharu yang dikaitkan dengan lobak merah organik pada Ahad, lapor Xinhua.
Sekurang-kurangnya 39 individu yang dijangkiti penyakit itu dilaporkan dari 18 negeri di AS. Antaranya, 15 orang telah dimasukkan ke hospital dan seorang meninggal dunia, menurut CDC.
Agensi itu berkata temu bual dengan pesakit dan penemuan penjejakan menunjukkan bahawa lobak merah organik dan lobak merah kecil yang dijual oleh Grimmway Farms menyebabkan orang jatuh sakit.
Grimmway Farms yang terletak di California telah menarik balik pelbagai saiz dan jenama lobak merah kecil dan lobak merah keseluruhan yang dibungkus pada Sabtu.
CDC meminta orang ramai untuk tidak memakan sebarang lobak organik yang telah ditarik balik dan mencuci barangan serta permukaan yang mungkin menyentuh lobak organik yang ditarik balik menggunakan air sabun panas atau mesin basuh pinggan mangkuk.
--BERNAMA-XINHUA