AS siasat pencabulan hak asasi manusia oleh Israel

Astro Awani
April 22, 2024 07:15 MYT
Antony Blinken mengesahkan AS sedang dakwaan pencabulan hak asasi manusia oleh tentera Israel di Gaza. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kini meneliti dakwaan pencabulan hak asasi manusia oleh Israel dalam operasi ketenteraannya di Gaza.
Perkara ini disahkan Setiausaha Negaranya, Antony Blinken ketika membentangkan laporan tahunan hak asasi Jabatan Negara.
Beliau juga nafi AS bersikap berat sebelah terhadap Israel.
"Dari hari pertama kami bekerjasama untuk melakukan segalanya bagi meningkatkan perlindungan untuk orang awam dan memudahkan penghantaran bekalan bantuan kemanusiaan kepada Gaza yang sangat memerlukannya.
"Apabila menyentuh isu dakwaan atau insiden berkaitan pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, pencabulan hak asasi, kami akan menyiasat perkara yang dibangkitkan," katanya.
Laman berita Axios pada Sabtu melaporkan Washington bercadang mengenakan sekatan ke atas batalion tentera Israel, Netzah Yehuda, yang beroperasi di Tebing Barat susulan dakwaan pencabulan hak asasi.
Tentera Israel bagaimanapun menafikan perkara tersebut.
#Antony Blinken #pencabulan hak asasi manusia #Israel #Gaza
;