Siapa pun yang menang pilihan raya, Ankara tetap teruskan hubungan strategik dengan Moscow

Bernama
Mei 13, 2023 04:45 MYT
Yilmaz mendakwa, Kemal Kilicdaroglu yang dianggap sebagai lawan utama penyandang Presiden Erdogan, membuat "pelbagai janji" kepada Barat. - Gambar FB ztrk Ylmaz
MOSCOW: Turkiye akan mengekalkan hubungan strategik dengan Rusia tanpa mengira keputusan pilihan raya presiden dan parlimen yang akan datang, memandangkan Moscow merupakan rakan kongsi penting Ankara, kata ketua Parti Inovasi Turkiye, Ozturk Yilmaz, kepada Sputnik.
"Mengenai hubungan dengan Rusia, saya tidak jangkakan sebarang perubahan dramatik akan berlaku. Rusia adalah rakan strategik kami dalam banyak aspek.
"Oleh itu sesiapa pun yang berkuasa, mereka tidak boleh mengabaikan realiti berkenaan," kata Yilmaz.
Pada masa yang sama, ahli politik pembangkang itu mendakwa Kemal Kilicdaroglu yang dianggap sebagai lawan utama penyandang Presiden Recep Tayyip Erdogan, membuat "pelbagai janji" kepada Barat, kerana mahu menjalin kerjasama yang lebih erat dengan negara Barat.
"Beliau (Kilicdaroglu) bertindak seolah-olah mahu menjauhkan diri dari Rusia dan menjalin hubungan yang lebih rapat dengan Barat. Beliau tidak bersendirian kerana orang di sekelilingnya memberikan idea itu," dakwa Yilmaz.
Pilihan raya presiden dan parlimen Turkiye berlangsung pada 14 Mei.
Selain Erdogan dan Kilicdaroglu sebagai wakil pakatan pembangkang dan Sinan Ogan daripada ATA Alliance akan bersaiang merebut jawatan presiden.
Berdasarkan tinjauan awal, masih belum dapat memberikan gambaran siapa yang bakal menang. Jika tiada calon memperoleh 50 undi, pemilihan pusingan kedua akan dijalankan pada 28 Mei.
Parti Inovasi ialah parti pembangkang Turkiye yang diasaskan oleh Yilmaz pada 2020 selepas beliau dipecat daripada Parti Rakyat Republikan ekoran konflik dalaman. - BERNAMA
#Ankara #Parlimen #pembangkang #pilihan raya
;