Siapa bakal ambil alih tampuk kuasa King Power selepas kematian Vichai?
Bernama
Oktober 30, 2018 04:58 MYT
Oktober 30, 2018 04:58 MYT
Kematian mendadak hartawan Vichai Srivaddhanaprabha dalam nahas helikopter pada Sabtu lepas telah menimbulkan pertanyaan siapakah bakal pengganti beliau yang akan menerajui konglomerat King Power Group.
Perhatian kini tertumpu kepada anak lelaki bongsunya, Aiyawatt, atau lebih dikenali sebagai "Top" dalam kalangan rakyat Thai, yang telah dilatih oleh bapanya untuk mengambil alih tampuk kuasa syarikat itu.
"Dengan ketiadaan bapanya, Aiyawatt perlu mengambil alih (syarikat itu) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif King Power Group, dan juga pengerusi Leicester City Football Club (LCFC)," demikian menurut laporan akhbar harian berbahasa Inggeris, "The Nation", pada Selasa.
Vichai yang merupakan individu kelima terkaya di Thailand dengan harta bernilai kira-kira US$4.9 billion mengasaskan syarikat tersebut pada 1989 dan kekal menjadi pengerusi sehingga kematian mendadak beliau dalam nahas tersebut yang berlaku di luar stadium LCFC di Leicester.
Aiyawatt, 32, yang berkongsi minat yang sama dengan bapanya bermain polo, bakal berdepan tugas yang sibuk sebaik mengambil alih syarikat itu kelak terutamanya dengan kemungkinan monopoli kedai bebas cukai di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi bakal berakhir.
"Cabaran pertama beliau adalah untuk mendapatkan semula konsesi baharu (bebas cukai) bagi King Power di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi apabila lesen 10 tahunnya tamat pada 2020," lapor akhbar itu.
King Power memenangi bidaan untuk mengendalikan kedai bebas cukai di lapangan terbang itu pada 2010.
Airports of Thailand (AOT) yang menguruskan lapangan terbang itu akan menawarkan bidaan bagi konsesi bebas cukai baharu tidak lama lagi sebelum kontrak sekarang berakhir pada Sept 2020.
Agensi itu, yang 70 peratus dimiliki kerajaan berada di bawah tekanan untuk meningkatkan persaingan dalam proses pembidaan bagi konsesi baharu.
Pakar ekonomi tempatan dan persatuan runcit telah menggesa kerajaan untuk mengakhiri monopoli oleh King Power dengan memberikan konsesi itu kepada pelbagai pengendali kerana ia akan menyediakan lebih banyak hasil kepada kerajaan.
Lotte Duty Free dari Korea Selatan yang mempunyai kedai bebas cukai di Bangkok dan Bangkok Airways yang tersenarai di Stock Exchange of Thailand adalah antara pesaing yang disebut-sebut oleh media tempatan bakal membida lesen untuk mengendalikan kedai bebas cukai di lapangan terbang tersebut.
Selain mengendalikan kedai bebas cukai yang menguntungkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, King Power Group juga mengendalikan kedai yang sama di Lapangan Terbang Don Mueang Bangkok dan lapangan terbang di Chiang Mai, Phuket dan Hatyai.
Syarikat itu juga mengendalikan kompleks membeli belah bebas cukai di Rang Nam Bangkok, di Phuket dan Pattaya.
-- BERNAMA
#Aiyawatt
#ambil alih
#anak
#helikopter
#kedai bebas cukai
#kematian
#King Power Group
#konsesi
#Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi
#Leicester City
#Nahas
#pengganti
#stadium
#Thailand
#Vichai Srivaddhanaprabha