"Siap sedia berdepan ketidaktentuan pada masa akan datang", PM Lee beritahu rakyat Singapura
Bernama
Disember 31, 2022 19:49 MYT
Disember 31, 2022 19:49 MYT
SINGAPURA: "Kita mesti bersiap sedia berdepan ketidaktentuan pada masa akan datang," kata Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong kepada rakyatnya dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 pada Sabtu.
Situasi di peringkat antarabangsa "kekal bermasalah", katanya.
"Konflik Rusia-Ukraine terus berlanjutan, tanpa menunjukkan sebarang tanda-tanda akan berakhir.
"Ketegangan Amerika Syarikat-China mungkin berterusan.
"Masih belum jelas seberapa cepat China dapat pulih daripada COVID-19, manakala AS dan EU mungkin mengalami kemelesetan," kata perdana menteri itu.
Dengan situasi global terkini, Lee berkata, bahawa ekonomi Singapura akan terjejas.
Dalam tempoh ini, Lee berkata, rakyat Singapura "mestilah sentiasa bersatu padu."
Lee menekankan bahawa Timbalan Perdana Menterinya Lawrence Wong dan pasukan generasi keempat (4G) sibuk mengadakan perbincangan Forward Singapore, serta bekerjasama dengan rakyat untuk merangka hala tuju baharu negara.
Ramai rakyat Singapura berkongsi maklum balas dan pandangan secara aktif, termasuk menjadi sukarelawan di kawasan di mana mereka boleh menyumbang dan bekerjasama dengan Kerajaan.
"Kami menantikan hasil perbincangan, dan untuk menjayakannya pada separuh kedua tahun depan," katanya.
Lee berkata, Singapura telah mengharungi pandemik COVID-19 dengan selamat dan menjadi lebih kuat.
"Tindak balas COVID-19 negara telah meningkatkan kedudukan Singapura di peringkat antarabangsa.
"Terdapat banyak sektor perniagaan dan individu yang ingin membuka kedai di sini dan di rantau ini. Kita mesti merebut peluang berkenaan.
"Mengalu-alukan pelaburan yang menjanjikan dan bakat tanpa mengira kewarganegaraan, sambil membina kemahiran dan keupayaan kita sendiri, meneroka dan mengejar impian kita di rantau ini dan dunia," katanya.
- BERNAMA