SIA, Scoot elak lalu ruang udara Iran berikutan ketegangan yang meningkat di Asia Barat
Bernama
April 14, 2024 21:00 MYT
April 14, 2024 21:00 MYT
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) dan syarikat penerbangan subsidari kos rendahnya, Scoot telah menghentikan penerbangan di ruang udara Iran selepas Iran melancarkan serangan langsung ke atas wilayah Israel buat kali pertama pada Sabtu, menurut laporan media tempatan.
The Straits Times yang memetik Jurucakap SIA berkata kedua-dua SIA dan Scoot menggunakan laluan penerbangan alternatif berkuat kuasa dari 1 tengah hari pada 13 April sebagai langkah berjaga-jaga.
"Kami memantau rapi keadaan di Timur Tengah dan akan melaraskan laluan penerbangan seperti yang diperlukan,"kata jurucakap itu.
Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA) melaporkan bahawa Angkatan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) melancarkan sejumlah misil ke atas sasaran tertentu di dalam wilayah diduduki Israel.
IRGC berkata serangan itu sebagai tindak balas terhadap "banyak sekali jenayah" dilakukan Israel, termasuk serangan ke atas Kedutaan Iran di Damsyik minggu lepas.
Menurut laporan media antarabangsa, selain Israel beberapa negara di Asia Barat juga telah menutup sementara ruang udara mereka berikutan peningkatan ketegangan di rantau itu termasuk di Jordan, Iraq dan Lubnan.
-- BERNAMA