Si comel tanpa nama... Anak badak air pygmy di Thailand tunggu undian orang awam

Agensi
Disember 1, 2019 16:00 MYT
Anak badak air jantina jantan yang sihat dan comel itu dilahirkan pada penghujung Oktober lalu di Zoo Khao Kheaw. - Reuters
Pengunjung sebuah zoo di Thailand dipelawa untuk turut serta dalam kempen memberi nama kepada seekor badak air pygmy yang baru dilahirkan.
Sudah menjadi semakin popular dan disukai ramai sejak khabar mengenainya diuar-uarkan media, anak badak air jantina jantan yang sihat dan comel itu dilahirkan pada penghujung Oktober lalu di Zoo Khao Kheaw di wilayah Chonburi.
Para penjaganya sudah memberikan nama pilihan yang berinspirasikan hidangan tempatan, iaitu 'Moo Tun' yang bermaksud 'daging khinzir panggang', atau 'Kaki' yang bermaksud 'kaki khinzir'.
Orang awam dijemput memberi undian di laman Facebook zoo itu sehingga 20 Disember, yang antara lain turut menawarkan hadiah berupa wang tunai, dan akses masuk percuma ke zoo itu selama setahun.
Badak air pygmy berasal dari kawasan hutan dan kawasan berpaya di Afrika Barat. Badak dewasa jenis pygmy ini hanya mencapai saiz lebih kurang separuh daripada badak air biasa.
Si kecil itu kini menjadi tarikan utama di zoo itu, seolah-olah meneruskan legasi populariti ibunya, Jona, yang berusia 20 tahun. Setiap hari, aksi Jona dan anaknya memakan sayuran dan mandi bersama amat mencuit perhatian.
"Ibu dan anaknya perlu bersama selama setahun sebelum kedua-duanya dipisahkan. Dalam tempoh itu, si anak akan belajar banyak perkara daripada induknya," ujar Pengarah Zoo, Attapon Srihayrun.
Nama yang terpikih akan diumumkan pada 28 Disember nanti.
#badak air #Chonburi #hidupan liar #zoo thailand
;