Shinzo Abe: Kerajaan dan rakyat Indonesia ucap takziah
Bernama
Julai 8, 2022 05:00 MYT
Julai 8, 2022 05:00 MYT
JAKARTA: Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi mengucapkan takziah kepada rakyat dan kerajaan Jepun atas kematian bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, yang maut akibat ditembak.
"Saya ingin menyampaikan ucapan takziah dan simpati daripada kerajaan dan rakyat Indonesia kepada kerajaan dan rakyat Jepun di atas peristiwa sedih yang berlaku pada Jumaat.
"Khidmat beliau yang penuh dedikasi kepada negara dan rakyat yang menjadi contoh kepada semua akan senantiasa dikenang," kata Retno dalam satu kenyataan.
Abe, 67, ditembak ketika sedang berucap dalam satu kempen pilihan raya di bandar raya Nara dan dalangnya sudah ditahan.
Jepun mengadakan pilihan raya Senat pada Ahad dan Abe berkempen untuk calon Parti Liberal Demokratik.
-- BERNAMA