Shinzo Abe atau Abe Shinzo? Jepun meminta media sedunia tulis begini...

Agensi
Mei 22, 2019 13:12 MYT
ABE SHINZO, itulah susunan nama Perdana Menteri Jepun seperti yang dimahukan. - Gambar fail
Menteri Luar Jepun Taro Kono mengumumkan bahawa kerajaan akan meminta media antarabangsa menulis nama Jepun dengan mendahulukan nama keluarga.
Amalan sebegitu adalah tradisi biasa dalam bahasa tempatan, dan bukannya menterbalikkan susunan seperti mengikut kelaziman Barat.
Portal Nikkei Asian Review yang memetik kata Kono melaporkan, nama Perdana Menteri Jepun perlu disusun sebagai Abe Shinzo dan bukannya Shinzo Abe.
Tambahnya, media antarabangsa selama ini pun sudah menggunakan format mendahulukan nama keluarga bagi merujuk kepada Presiden China Xi Jinping dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in.
Pengumuman itu dibuat dalam sebuah sidang media pada Selasa, yang menyaksikan Kono mengharapkan perubahan itu bakal dimulakan tahun ini dan seterusnya, menjelang penganjuran acara antarabangsa yang bakal dihoskan oleh Jepun.
Sidang Kemuncak G20 bakal dilangsungkan pada Jun manakala Tokyo pula bersedia menjadi tuan rumah temasya Olimpik pada 2020.
Jepun menggunakan susunan nama mengikut cara Barat semasa era Meiji di akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, ketika negara itu cenderung mencontohi Eropah.
Kebiasaan itu digunakan dalam urusan perniagaan yang mempunyai rangkaian global, seperti pengendali bisnes Uniqlo, Honda Motor dan Rakuten.
Pada tahun 2000, sebuah majlis bahasa yang kini Kementerian Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi mengesyorkan badan-badan kerajaan negara itu menulis nama-nama mengikut susunan tradisional Jepun meskipun dieja dengan huruf rumi Latin.
Majlis itu berhujah: "Semua orang perlu sedar dan menghormati kepelbagaian bahasa dan budaya".
#Abe Shinzo #barat #budaya #era meiji #eropah #Jepun #nama jepun #Shinzo Abe #tradisi
;