Sheikh Hasina akan tinggal di India sehingga peroleh suaka di Britain - Laporan

Bernama
Ogos 6, 2024 16:47 MYT
Hasina, 76, meletak jawatan pada Isnin berikutan protes antikerajaan yang belum pernah berlaku sebelum ini di Bangladesh. - Gambar fail/Reuters
NEW DELHI: Bekas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina yang melarikan diri dari negaranya dijangka tinggal di India sehingga Britain memberinya suaka, menurut saluran berita televisyen tempatan Republic World pada Selasa, lapor Xinhua.
Hasina, 76, meletak jawatan pada Isnin berikutan protes antikerajaan yang belum pernah berlaku sebelum ini di Bangladesh.
Beliau segera meninggalkan Dhaka dengan menaiki helikopter tentera.
Laporan awal menyatakan bekas perdana menteri itu sedang menuju ke London dan sejurus mendarat di India, beliau akan menaiki penerbangan komersial ke negara ketiga.
Namun, helikopter yang membawa Hasina mendarat di pangkalan Hindon Tentera Udara India di Ghaziabad berhampiran New Delhi pada petang Isnin dan sejak itu beliau berada di India.
Menurut laporan itu, beliau sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan Britain mengenai suaka politik di negara itu.
-- BERNAMA
#Sheikh Hasina #Perdana Menteri Bangladesh #tuntut suaka #Britain
;