Sheikh Hamad umum peralihan kuasa
Astro Awani
Jun 26, 2013 08:09 MYT
Jun 26, 2013 08:09 MYT
Pemerintah Qatar Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani mengumumkan peralihan kuasa kepada pewarisnya, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
Pengumumannya dibuat dalam siaran televisyen ke seluruh negara itu.
Terdapat spekulasi bahawa keputusan berkenaan berkait rapat dengan tahap kesihatan baginda.
Sheikh Hamad, 61 tahun menyerahkan takhta yang dipegangnya hampir dua dekad lalu selepas menyingkirkan ayahandanya, pada 1995.
Ketika itu, baginda menjadi putera mahkota merangkap Menteri Pertahanan Qatar.
Sepanjang tempoh berkuasa, ia menyaksikan perubahan ketara ekonomi negara itu dengan menjana pendapatan negara berkali ganda.
Negara teluk itu menjadi pusat pelaburan global dengan memperoleh dana asing melebihi USD100 billion (RM318.5 billion).
Baginda juga memainkan peranan penting mengasaskan penubuhan agensi berita antarabangsa Al Jazeera dan melancarkan semula Qatar Airways.
Sepanjang tempoh berkenaan, Qatar turut memainkan peranan besar pada pentas politik Asia Barat termasuk menyokong kebangkitan kumpulan anti Muammar Gaddhafi di Libya dan penentang kepimpinan Bashar Al Assad di Syria.
Doha juga menjadi antara negara teluk pertama menawarkan bantuan kepada Ikhwanul Muslimin untuk mendominasi politik Mesir.
Susulan pengumuman pengunduran berkenaan, Sheikh Tamim dijangka tidak akan membuat sebarang rombakan utama terhadap dasar yang diteraju ayahndanya.