Shanghai Disneyland kembali terima pelancong
Astro Awani
Julai 1, 2022 08:20 MYT
Julai 1, 2022 08:20 MYT
SHANGHAI: Shanghai Disneyland kembali menerima pengunjung pada Khamis selepas lebih tiga bulan ditutup susulan ancaman pandemik COVID-19 yang berlaku di hab kewangan China itu.
Tidak seperti di negara lain, para pelancong yang mengunjungi taman tema itu masih perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 dan perlu memakai pelitup muka sepanjang berada di sana.
Meskipun ia mendapat sambutan, namun ia tidak semeriah seperti prapandemik susulan bilangan kemasukan pelancong dihadkan dan tidak kesemua tarikan beroperasi.
Shanghai menamatkan perintah berkurung bermula 1 Jun selepas penutupan ketat selama dua bulan yang mengehadkan 25 juta penduduknya untuk kekal di rumah.
Langkah-langkah pencegahan dan kawalan wabak kekal dilaksanakan walaupun bandar ini membuka kawasan awam secara beransur.
Pada Rabu, aktiviti makan di restoran kembali dilaksanakan dengan pekerja kedai makan perlu melakukan ujian setiap hari dan mesti memakai topeng N95 semasa melayan pelanggan.