Shakira 'diserang' babi hutan ketika berjalan bersama anak di Barcelona

Agensi
Oktober 1, 2021 13:21 MYT
Shakira merupakan mangsa terkini kelakuan agresif babi hutan yang semakin 'menakluki' bandar raya itu. - Instagram/Shakira & Unsplash
BARCELONA: Bintang pop Shakira mendedahkan dirinya menjadi mangsa serangan mendadak sepasang bai hutan ketika dia berjalan di sebuah taman di Barcelona, Sepanyol bersama anaknya yang berusia 8 tahun.
Penyanyi itu, yang berkongsi pengalaman buruk menerusi siri Instagram Story, memberitahu bahawa haiwan liar itu telah menyerangnya dan kemudian melarikan begnya ke dalam kawasan belukar.
Sambil memegang begnya yang koyak setelah dapat ditemui semula, Shakira menunjukkan kepada kamera: "Lihat ini, apa yang dua ekor babi hutan lakukan. Haiwan itu melarikan beg saya yang mengandungi telefon mudah alih ke dalam hutan. Habis jahanam semuanya."
Dia kemudian berpaling pada anaknya, yang merupakan zuriat hasil perkongsian hidup dengan pemain bola sepak Barcelona Gerard Pique, dan berkata: "Milan, ceritakan yang sebenar. Cakap bagaimana ibu kamu bertahan dengan serangan babi hutan itu."
Shakira merupakan mangsa terkini kelakuan agresif babi hutan yang semakin 'menakluki' bandar raya itu.
Pada 2016, polis Sepanyol menerima 1,187 panggilan telefon berkaitan babi hutan yang menyerang anjing, merampas daripada pemberi makan kucing, mengganggu lalu lintas dan merempuh kenderaan.
Pada 2013, seorang anggota polis cuba mengambil tindakan ke atas masalah itu dengan menembak babi hutan menggunakan pistol revolvernya, namun akhirnya terkena rakan setugas sendiri.
BACA: Rimas! Penduduk Rom tidak tahan lagi saban tahun diancam babi hutan
Babi hutan, yang boleh menjadi pembawa kepada pelbagai penyakit, disenari sebagai salah satu spesies paling invasif dan mampu hidup dalam pelbagai persekitaran. Haiwan itu semakin tertarik untuk mendekati kehidupan bandar, memandangkan di situ terdapat banyak sampah yang ditinggalkan manusia.
Bilangannya semakin melonjak di serata Eropah, dengan anggaran terkini melepasi jumlah 10 juta ekor.
Oleh kerana haiwan itu menjadi lebih agresif dan melakukan kekacauan, banyak pihak berkuasa bandar raya melancarkan strategi untuk mengurangkan bilangannya. Di Berlin, Jerman, pemburu urban dibenarkan membunuh haiwan itu dalam bilangan ribuan, namun masalah itu masih belum reda.
#Shakira #babi hutan #barcelona #hidupan liar
;