Shah Rukh Khan, Modi antara yang hadir pengebumian Lata Mangeshkar

Astro Awani
Februari 6, 2022 23:04 MYT
Mereka antara lain dilihat bertafakur dan meletakkan kalungan bunga pada Istiadat Pengebumian Negara di Shivaji Park di Mumbai. - Gambar/ Twitter @SRKFC_PUNE
PERDANA Menteri India, Narendra Modi dan bintang popular Bollywood, Shah Rukh Khan, adalah antara orang kenamaan yang hadir memberi penghormatan terakhir pada pengebumian penyanyi legenda Lata Mangeshkar, pada Ahad.
Mereka antara lain dilihat bertafakur dan meletakkan kalungan bunga pada Istiadat Pengebumian Negara di Shivaji Park di Mumbai, pukul 6.30 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia), menurut The Indian Express.
Terdapat ramai lagi orang kenamaan dan selebriti yang hadir pada upacara berkenaan termasuk pemain kriket terkenal India dan dunia, Sachin Tendulkar.
Terdahulu, pelakon veteran Bollywood Amitabh Bachchan ditemani anaknya, Shweta Bachchan, turut hadir memberi penghormatan terakhir di kediaman mendiang di Mumbai.
BACA: India berduka kehilangan 'Ratu Melodi' Lata Mangeshkar
BACA: Lata Mangeshkar dikebumi malam ini dalam Istiadat Pengebumian Negara
Sebagai tanda penghormatan kepada mendiang yang juga penerima anugerah tertinggi untuk orang awam, Bharat Ratna, kerajaan India turut mengumumkan untuk mengibarkan bendera separuh tiang dan berkabung selama dua hari.
Sepanjang tempoh itu kesemua majlis rasmi juga diarahkan dibatalkan.
Legenda India | India kehilangan permata seni, Lata Mangeshkar
BACA: Yang perlu anda tahu mengenai Lata Mangeshkar...
Seniwati tersohor Bollywood itu meninggal dunia pada usia 92 tahun di hospital di Mumbai Breach Candy selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi sejak 11 Januari lalu akibat jangkitan COVID-19.
Mangeshkar yang lahir pada tahun 1929, memulakan karier seninya pada usia lima tahun hasil latihan bapanya, Deenanth.
Setelah bapanya meninggal dunia, beliau terpaksa memikul tanggungjawab untuk menyara empat beradik dan keluarganya pada usia 13 tahun.
Mendiang juga pernah dijemput kerajaan bagi menyanyikan lagu patriotik sebagai penghormatan kepada anggota tentera yang terbunuh dalam perang Indo-China pada tahun 1962.
Mangeshkar terkenal dengan sifatnya yang sering menyanyi tanpa memakai kasut sebagai tanda hormat kepada seni nyanyi dan menulis sendiri bait lirik sebelum merakamnya.
#Lata Mangeshkar #Shah Rukh Khan #Narendra Modi #Istiadat Pengebumian Negara
;