Shah Rukh Khan lantik peguam baharu kendali kes anak
Agensi
Oktober 13, 2021 13:50 MYT
Oktober 13, 2021 13:50 MYT
MUMBAI: Pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan melantik Amit Desai untuk mewakili anaknya yang didakwa terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah.
Amit merupakan peguam yang bertanggungjawab membantu membebaskan aktor Salman Khan yang terlibat dalam kes langgar lari pada 2002.
Menurut portal India Today, permohonan ikat jamin melibatkan Aryan Khan akan berlangsung hari ini pukul 2.45 petang.
Pada Isnin, peguam yang mewakili Narcotics Control Bureau (NCB) memberitahu mahkamah bahawa agensi itu memerlukan tempoh sekurang-kurangnya seminggu untuk mengemukakan jawapan terhadap permohonan Aryan.
Ini susulan terdapat banyak kes permohonan jaminan berkaitan kes dadah yang masih belum selesai.
"Anak guam saya sudah berada dalam tahanan selama seminggu dan pendengaran permohonan jaminan tidak seharusnya bergantung kepada penyiasatan.
‘’Saya tidak berhujah tentang jaminan, saya hanya mahukan tarikh,’’ katanya.
Tambahnya, hanya kerana urusan pentadbiran, perkara berkaitan permohonan ikat jamin anak guamnya tidak boleh dilengahkan.
Ini kerana siasatan masih diteruskan dan setakat ini dia (Aryan) hanya akan berhadapan dengan tuduhan penjara maksimum setahun sekiranya disabitkan bersalah.
‘’Tidak ada bahan terlarang yang ditemui padanya, sekiranya mereka memerlukan lagi tempoh masa untuk memberi respon terhadap permohonan ikat jamin, mereka perlu melihat fakta kes bahawa hukuman yang bakal didepani hanyalah satu tahun,’’ kata Amit.
Amit mewakili Salman pada perbicaraan ikat jaminnya pada 2015 dan dia telah mencabar perintah mahkamah untuk mengurangkan hukuman terhadap pelakon tersebut.
Pada Sabtu, Mahkamah Mumbai menolak permohonan jaminan ke atas Aryan dan akan terus ditahan di bawah perintah penjagaan mahkamah (judicial custody) dan dihantar ke Penjara Arthur di Mumbai untuk menghabiskan hujung minggunya.
Dalam situasi tersebut, tertuduh boleh dihantar ke penjara dan pihak berkuasa memerlukan kebenaran daripada pihak mahkamah untuk melakukan soal siasat.
Pada 3 Oktober lalu, Aryan ditahan bersama tujuh yang lain termasuk dua wanita oleh NCB di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai.
Menurut laporan The Times of India, NCB turut merampas 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methamphetamine, 5 gram dadah jenis mephedrone dan lebih 1.3 juta lakh rupee.
Ketika serbuan, Aryan dilaporkan bersama dua rakannya iaitu pelakon, Arbaz Seth Merchant dan pereka fesyen, Munmun Dhamcecha.
Lima lagi individu yang ditahan terdiri daripada Nupur Satija, Ishmeet Chadha, Mohak Jaiswal, Gomit Chopra dan Vikrant Chhokar.