Seungri akhirnya mengaku sebar rakaman video seks
Agensi
Mac 28, 2019 09:00 MYT
Mac 28, 2019 09:00 MYT
SETELAH beberapa tuduhan yang dikenakan terhadapnya, bekas anggota BigBang, Seungri akhirnya mengaku bertanggungjawab atas kesalahan berkongsi kandungan kamera litar tersembunyi.
Bintang K-Pop ternama itu baru-baru ini telah didakwa atas kesalahan mengedarkan rakaman video seks dan foto melalui media sosial.
Jurucakap polis Korea Selatan berkata, pengakuan Seungri itu telah direkodkan pada Khamis.
"Seungri mengakui dia menyebarkan rekod rakaman secara tidak sah. Namun, dia menegaskan bahawa dia tidak membuat rakaman (video seks) itu sendiri, tetapi menyebarkannya selepas diterima daripada orang lain," kata jurucakap itu seperti dilaporkan media antarabangsa.
Polis juga pada ketika ini sedang menyiasat siapa lagi individu yang melihat rakaman itu.
Sebelum ini, seorang lagi penyanyi K-Pop, Jung-Joon Young turut terpalit dengan kes berprofil tinggi ini dan mengakui merakamkan aksi hubungan seks dan menyebarkan video itu tanpa kebenaran sekurang-kurangnya 10 wanita.
Dalam perkembangan yang sama, Jung kini sedang menghadapi perbicaraan mahkamah atas 11 dakwaan pengedaran kandungan haram, manakala bekas pemuzik kumpulan F.T. Island, Choi Jong Hoon pula dihadapkan dengan tiga lagi kes.