Setiausaha Pertahanan Amerika mohon maaf rahsiakan penyakit

Agensi
Februari 1, 2024 06:45 MYT
Lloyd Austin “sangat menyesal” kerana gagal memaklumkan kepada pemerintah tertinggi Amerika berhubung penyakit kanser prostat yang dihadapinya serta rawatan yang diterima di hospital sekitar Disember lalu. - Gambar fail AP
WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin “sangat menyesal” kerana gagal memaklumkan kepada pemerintah tertinggi negara itu berhubung penyakit kanser prostat yang dihadapinya serta rawatan yang diterima di hospital sekitar Disember lalu.
Austin yang berusia 70 tahun dibenarkan keluar dari wad bulan lalu selepas disahkan semakin pulih daripada rawatan kanser prostat yang dihidapinya.
"Saya tidak menguruskan (penyakit) saya dengan betul. Saya sepatutnya memberitahu Presiden mengenai diagnosis kanser saya," kata Austin.
Mana-mana ketua tertinggi Kementerian Pertahanan AS - Pentagon – seharusnya bersedia dalam apa sahaja situasi untuk menangani sebarang krisis keselamatan negara.
Ketua-ketua Pentagon sepatutnya sedia ada dalam masa terdekat untuk menangani sebarang krisis keselamatan negara.
"Saya bertanggungjawab sepenuhnya dan saya memohon maaf kepada rakan sepasukan saya dan kepada rakyat Amerika," jelas Austin lagi dalam sidang akhbar pertamanya sejak kembali bertugas.
"Tertakluk pada peraturan, saya tidak berkongsi tentang perbualan dengan ketua saya, namun begitu, saya boleh memberitahu anda bahawa saya telah meminta maaf secara peribadi kepada Presiden (Joe) Biden.
"Saya telah memberitahunya saya amat kesal kerana tidak memaklumkan dengan segera bahawa saya menerima diagnosis yang serius dan sedang mendapatkan rawatan."
Dalam masa sama, Austin menegaskan, tidak pernah mengarahkan sesiapa dalam kalangan kakitangannya untuk menyembunyikan berita beliau dirawat di hospital daripada pengetahuan White House atau orang ramai.
Bagaimanapun, beliau tidak pula menjawab soalan sama ada kakitangannya telah bertindak di luar arahannya.
"Saya tidak fikir saya telah mencipta budaya berahsia," jelasnya lagi.
Setiausaha Pertahanan berada betul-betul di bawah Presiden dalam lingkaran pemerintahan untuk tentera AS dan dianggap sebagai salah satu anggota paling penting dalam Kabinet.
Austin menjalani pembedahan merawat kanser prostat pada akhir Disember lalu.
Beliau dikejarkan semula ke hospital pada 1 Januari 2024 kerana mengalami kesakitan kaki yang teruk selain sakit di pinggul dan perutnya kerana komplikasi berkaitan prosedur itu.
Pemeriksaan doktor mendapati beliau menghadapi jangkitan saluran kencing dan dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.
Austin dirawat di hospital ebih daripada dua minggu.
Pegawai kanan pertahanan dan White House tidak mengetahui beliau sakit sehingga tiga hari selepas kemasukannya semula pada Tahun Baharu 2024.
Sekalipun kurang sihat, namun Austin, kekal aktif dalam tugasnya serta membenarkan beberapa serangan terhadap militan Houthi yang berpangkalan di Yaman di Laut Merah dari katil hospitalnya.
Dalam reaksinya pula, Presiden Biden berkata, beliau tetap yakin dengan kepimpinan Setiausaha Pertahanannya itu, namun berpendapat, adalah "kurang optimum" bagi Austin kerana tidak mendedahkan keseriusan penyakitnya.
Insiden itu turut mencetus kebimbangan keselamatan dan ketelusan menyebabkan tiga penyiasatan dilancarkan bagi mengendalikan situasi yang dihadapi Austin.
Setiausaha Pertahanan itu juga telah diarahkan untuk memberi keterangan di hadapan jawatankuasa Kongres pada 14 Februari ini. - Agensi
#Setiausaha Pertahanan AS #Llyod Austin #Llyod Austin kanser prostat #Setiausaha Pertahanan AS mohon maaf
;