Setiausaha Perbendaharaan AS akan lawat Beijing di tengah ketegangan meningkat
Bernama
Julai 3, 2023 20:46 MYT
Julai 3, 2023 20:46 MYT
WASHINGTON: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Janet Yellen akan mengadakan lawatan ke Beijing pada Khamis, umum Jabatan Perbendaharaan pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lawatan Yellen susulan arahan Presiden AS Joe Biden selepas pertemuannya dengan Presiden Xi Jinping pada November untuk mempertingkatkan komunikasi antara AS dan China, menurut pejabatnya dalam satu kenyataan.
Yellen akan bertemu dengan wakil peringkat tinggi kerajaan China semasa lawatannya.
Beliau akan membincangkan "kepentingan bagi kedua-dua negara - sebagai dua ekonomi terbesar dunia - untuk mengurus perhubungan secara bertanggungjawab, berkomunikasi secara langsung mengenai bidang yang menjadi kebimbangan dan bekerjasama untuk menangani cabaran global," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA