Setiausaha Negara AS adakan pertemuan dengan Menteri Luar Rusia
Bernama
Mac 3, 2023 12:10 MYT
Mac 3, 2023 12:10 MYT
NEW DELHI: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Khamis mengadakan pertemuan ringkas dengan rakan sejawatannya dari Rusia Sergey Lavrov, pertemuan pertama kedua-dua pemimpin itu sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Kedua-dua pemimpin itu kini berada di New Delhi bagi menyertai mesyuarat menteri-menteri luar G20.
Pada sidang media selepas mesyuarat menteri-menteri luar itu, Blinken berkata dalam pertemuan dengan Lavrov, beliau telah mengulangi kenyataannya bahawa setiap negara sedang menderita akibat konflik Rusia-Ukraine dan meminta konflik itu ditamatkan.
Blinken turut menggesa Lavrov untuk kembali mengadakan perbincangan mengenai perjanjian New START dan mencari jalan perdamaian.
Presiden Rusia Vladimir Putin pada minggu lalu menangguhkan perjanjian senjata nuklear dengan AS.
"Setiap negara terkesan dengan perang Rusia di Ukraine. Kita perlu mendapatkan makanan untuk mereka yang kelaparan dan membantu negara mempunyai bekalan yang cukup dari segi hasil pertanian.
"Saya memberitahu menteri luar bahawa, tidak kira apa yang berlaku di dunia atau dalam hubungan kita, AS akan sentiasa bersedia untuk terlibat dan bertindak ke atas kawalan senjata strategik, sama seperti AS dan Kesatuan Soviet lakukan walaupun pada kemuncak Perang Dingin," katanya.
Blinken turut memberi amaran kepada China bahawa memberikan bantuan ketenteraan kepada Rusia atau membantu negara itu mengelak daripada sekatan akan menyumbang "masalah serius" kepada hubungan AS-China.
Ketika ditanya mengenai isu kemunduran demokrasi dan hak asasi manusia di India, Blinken berkata bahawa India dan AS adalah dua negara demokrasi terbesar di dunia.
"Kami perlu berpegang kepada nilai teras termasuk menghormati hak asasi manusia seperti kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan kebebasan berhimpun. Kami sering terlibat dengan rakan sejawatan kami dari India dalam isu itu, seperti yang saya lakukan hari ini," katanya.
-- BERNAMA