Setiausaha Agung PBB kecam peningkatan keganasan dan serangan ke atas orang awam di Myanmar
Bernama
Jun 7, 2024 23:29 MYT
Jun 7, 2024 23:29 MYT
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, "mengutuk sekeras-kerasnya" serangan terbaharu tentera Myanmar di Negeri Rakhine dan Wilayah Sagaing yang dilaporkan telah meragut banyak nyawa orang awam.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata Guterres sangat prihatin terhadap peningkatan keganasan di Myanmar.
"Setiausaha Agung menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik untuk mengamalkan kawalan diri yang maksimum, mengutamakan perlindungan orang awam mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mencegah hasutan lebih lanjut terhadap ketegangan dan keganasan komuniti.
Setiausaha Agung sangat bimbang mengenai implikasi serantau yang semakin meluas akibat situasi yang semakin merosot di Myanmar dan mengulangi seruannya untuk pendekatan bersama," kata Dujarric dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dujarric berkata, insiden terbaharu yang menyasarkan etnik Rakhine di Barat Myanmar, serta penindasan berterusan terhadap Rohingya, menekankan keperluan untuk melindungi semua komuniti.
"Pengeboman udara secara rambang dan pelanggaran hak asasi manusia terus dilaporkan di banyak bahagian negara itu. Mereka yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Dujarric berkata, Guterres menggesa negara anggota dan semua pihak berkepentingan untuk berinteraksi dan menyokong Utusan Khas, Julie Bishop, dalam usahanya untuk meringankan penderitaan dan membantu membina proses Myanmar yang inklusif ke arah keamanan yang berkekalan, termasuk melalui kerjasama erat dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan negara-negara jiran.
Puluhan ribu orang telah menjadi gelandangan berikutan peningkatan keganasan antara tentera Myanmar dan Tentera Arakan di Negeri Rakhine Myanmar.
Laporan media menunjukkan serangan itu menyasarkan komuniti Muslim Rohingya di Rakhine.
Minggu lalu, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian, Filippo Grandi, berkata tiga juta orang kini dipindahkan secara dalaman di Myanmar, dengan ramai yang cuba mencari perlindungan di negara jiran.
Beliau berkata, situasi di Negeri Rakhine dilaporkan "amat membimbangkan".
--BERNAMA
TAG: Myanmar, PBB, Antonio Guterres