Setiausaha Agung PBB desak gencatan senjata dikuatkuasa di Gaza

Astro Awani
Mei 3, 2024 07:30 MYT
Guterres berkongsi kebimbangan perang akan memburuk sekiranya tiada gencatan senjata dikuatkuasakan. - Foto fail/REUTERS
KAHERAH: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengulangi desakan supaya satu perjanjian gencatan senjata dapat dicapai di Semenanjung Gaza.
Beliau berkongsi kebimbangan perang akan memburuk sekiranya tiada gencatan senjata dikuatkuasakan.
Kenyataan ini dibuat ketika pusingan baharu rundingan tidak langsung dijadual berlangsung di Kaherah, Mesir.
Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) menjadi pengantara mengetuai usaha untuk merunding gencatan senjata, antaranya bagi pembebasan tebusan.
Pada Khamis, Ketua Hamas Ismail Haniyeh mengesahkan sudah membincangkan tawaran terbaharu Israel dengan pengantara Mesir dan Qatar.
Beliau memaklumkan sudah menerima tawaran dikemukakan Israel.
Sebelum ini Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Setiausaha Luar Britain, David Cameron mendesak Hamas menerima tawaran Israel.
Tawaran terbaharu itu menyaksikan cadangan untuk menghentikan pertempiran selama 40 hari dan pertukaran puluhan tahanan Israel dengan tahanan Palestin.
Namun Hamas bertegas tidak akan terima sebarang perjanjian yang tidak akan menguatkuasakan gencatan senjata kekal, pengunduran tentera Israel dari Gaza dan kepulangan tebusan Palestin di Israel.
#Antonio Guterres #gencatan senjata #Gaza #Israel
;