Setiausaha Agung PBB bimbang tentera Korea Utara berada di Rusia
Bernama
November 4, 2024 19:33 MYT
November 4, 2024 19:33 MYT
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres melahirkan kebimbangan mengenai wujudnya laporan pasukan tentera dari Korea Utara dihantar ke Rusia, termasuk kemungkinan penempatan mereka ke zon konflik, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Jurucakap kepada Setiausaha Agung, Stephane Dujarric, dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, 'Ini akan mewakili satu peningkatan yang sangat berbahaya dalam perang di Ukraine."
"Segala usaha mesti dilakukan untuk mengelakkan pengantarabangsaan konflik ini," menurut kenyataan itu.
Setiausaha Agung PBB mengulangi sokongannya terhadap semua usaha gigih ke arah mencapai perdamaian yang adil, berkekalan dan menyeluruh di Ukraine, selaras dengan Piagam PBB, undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Perhimpunan Agung.
-- BERNAMA