Setiausaha Agung NATO bakal adakan lawatan ke Korea Selatan dan Jepun
Bernama
Januari 24, 2023 12:10 MYT
Januari 24, 2023 12:10 MYT
ISTANBUL: Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Jens Stoltenberg dijangka melawat Korea Selatan dan Jepun pada minggu depan.
Sempena kunjungan beliau ke Korea Selatan pada 29 hingga 30 Januari, setiausaha agung itu akan bertemu Menteri Luar Park Jin, Menteri Pertahanan Lee Jong Sup dan pegawai kanan yang lain.
Beliau juga dijadual berucap di Institut CHEY, sebuah badan pemikir Korea Selatan dan menyertai upacara meletakkan kalungan bunga di Perkuburan Negara.
Lawatan itu diadakan ketika kerajaan Presiden Yoon Suk Yeol mahu memperkukuh kerjasama dengan NATO, lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita Yonhap.
Yoon menjadi pemimpin Korea Selatan pertama yang menghadiri sidang kemuncak NATO di Sepanyol Jun lalu.
Selepas lawatannya ke Seoul, Stoltenberg akan berlepas ke Jepun.
Ketika berada di Tokyo dari 30 Januari hingga 1 Februari beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Fumio Kishida serta pegawai kanan yang lain selain menyampaikan ucapan di Universiti Keio.
-- BERNAMA