Setiausaha Agung ASEAN, PM Thailand bincang jenayah rentas sempadan, inisiatif pendidikan banduan

Bernama
November 5, 2024 06:10 MYT
Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn (kiri) melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra pada Selasa. - Gambar X @ASEAN
BANGKOK: Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra pada Selasa untuk membincangkan kerjasama dalam memerangi jenayah rentas sempadan dan inisiatif bagi menyokong pendidikan banduan dalam usaha mengurangkan kadar pengulangan jenayah.
Jurucakap Kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap berkata Perdana Menteri menyambut baik kehadiran Dr. Kao dengan menekankan bahawa pertemuan ini adalah peluang untuk menilai pencapaian lepas dan menetapkan matlamat masa depan, khususnya dalam dasar menangani jenayah rentas sempadan dan isu sosial.
"Dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak mengakui ancaman siber yang semakin meningkat, terutamanya penipuan dalam talian dan penyalahgunaan teknologi, yang telah menjadi isu mendesak bagi banyak negara ASEAN, termasuk Thailand," kata Jirayu dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jirayu berkata Paetongtarn menekankan keperluan untuk langkah menyeluruh dalam memerangi jenayah siber di semua sektor dan mengalu-alukan sokongan ASEAN dalam menangani cabaran ini.
"Kedua-dua pihak turut membincangkan strategi untuk menangani isu berkaitan dadah, dengan Perdana Menteri menekankan bahawa ini adalah keutamaan mendesak bagi Thailand dan negara-negara lain di rantau ini," katanya.
Paetongtarn turut menekankan kepentingan menyediakan peluang pendidikan untuk banduan bagi membantu mereka kembali ke dalam masyarakat, mengurangkan kadar pengulangan jenayah, dan membolehkan bekas banduan kembali sebagai anggota masyarakat yang produktif.
Dr. Kao mengucapkan terima kasih atas layanan mesra Perdana Menteri dan memuji peranan aktif Thailand dalam ASEAN, khususnya dalam kesihatan awam.
Beliau turut memuji dedikasi Perdana Menteri terhadap pendidikan banduan, mengakui kesannya dalam mengubah banduan menjadi warganegara yang bertanggungjawab, selaras dengan keutamaan ASEAN.
Terdahulu, dalam lawatan kerja dua hari ke Thailand bermula Selasa (5 Nov), Dr. Kao turut bertemu dengan Menteri Kehakiman Thailand, Tawee Sodsong, dan Setiausaha Agung Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB), Lt. Jen. Pol Phanurat Lukboon.
Beliau juga mengunjungi Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand, dihoskan oleh Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Kanan, Lt. Jen. Pol Prachuap Wongsuk. - BERNAMA
#ASEAN #penipuan dalam talian #jenayah rentas sempadan #kesihatan awam
;