Setiausaha Agung ASEAN bincang krisis Myanmar dengan Utusan Khas PBB

Bernama
Jun 27, 2024 19:04 MYT
Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn. - Foto: https://asean.org/
JAKARTA: Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, pada Khamis mengadakan perbincangan mengenai krisis Myanmar dengan Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Myanmar, Julie Bishop, di Ibu Pejabat ASEAN di sini.
Menurut Sekretariat ASEAN, semasa pertemuan itu, mereka bertukar-tukar pandangan mengenai usaha serantau, terutamanya oleh ASEAN dan PBB dalam menyokong pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN.
Perbincangan itu juga tertumpu kepada usaha ASEAN dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres melantik Bishop yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar Australia dari 2013 hingga 2018, sebagai utusan khas ke Myanmar pada 5 April.
Dalam perkembangan lain, Program Makanan Sedunia (WFP) mengutuk insiden rompakan dan pembakaran gudangnya di Maungdaw, Negeri Rakhine, Myanmar, Sabtu lalu.
Organisasi itu menggesa semua pihak untuk menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memastikan akses selamat untuk menyampaikan bantuan penting kepada mereka yang memerlukan.
"Kakitangan WFP tidak dapat mengakses gudang Maungdaw sejak akhir Mei disebabkan oleh konflik yang semakin memuncak di utara Rakhine," menurut organisasi itu dalam satu kenyataan.
Gudang itu mengandungi 1,175 tan metrik makanan dan bekalan penting, mencukupi untuk menampung 64,000 orang selama sebulan.
WFP telah menyediakan bantuan kecemasan kepada hampir satu juta orang yang terjejas akibat konflik di Myanmar setakat tahun ini.
Myanmar berada dalam krisis sejak Feb 2021 apabila tentera merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi.
-- BERNAMA
#ASEAN #PBB #utusan khas #Myanmar #Kao Kim Hourn
;