Setianya seekor anjing, enggan berganjak dan cengkam kuku pada keranda tuannya

Agensi
Julai 21, 2019 08:16 MYT
Seekor anjing mencengkam kukunya dan enggan melepaskan keranda tuannya sehingga terpaksa dipujuk untuk dialihkan ke tempat lain dalam kejadian di Lima, Peru.
Bukan satu kisah asing apabila ia melibatkan kesetiaan seekor anjing kepada tuannya sehingga haiwan itu mampu merasakan kesedihan atau kebahagiaan individu yang membelanya.
Di Lima, Peru, seekor anjing enggan berganjak dan melepaskan keranda tuannya sehingga kelakuannya itu mendatangkan rasa kasihan kepada tetamu yang hadir untuk upacara pengebumian, baru-baru ini.
Menurut laporan Daily Mirror, haiwan itu dalam sebuah video yang dirakamkan oleh tetamu dilihat setia menunggu di sebelah keranda tuannya bermula saat mendiang tuannya ditempatkan di dalam keranda.
Ia turut memaparkan bagaimana anjing berkenaan mencengkam keranda menggunakan kukunya sebelum muncul seorang wanita yang dilihat cuba memujuk untuk mengalihkan haiwan itu ke tempat lain.
Ia secara tidak langsung menimbulkan rasa sayu dalam kalangan orang ramai yang menyifatkan anjing itu terlalu setia kepada tuannya.
Seorang netizen, Carol Elizabeth Jauregui Castillo meninggalkan komen yang menyatakan hiba atas kesetiaan anjing yang dilihat amat terkesan dengan pemergian tuannya.
“Mungkin semasa hayatnya si mati dan anjing peliharaannya itu amat rapat dan sentiasa berkongsi suka dan duka bersama. Anjing itu amat setia dan ia membuatkan saya sedih,” katanya.
#anjing #keranda #setia
;