Setelah lebih 6 bulan dan 10 juta kes, ini apa yang diketahui tentang COVID-19
Reuters
Jun 29, 2020 08:50 MYT
Jun 29, 2020 08:50 MYT
COVID-19 kini merekodkan angka jangkitan mencecah 10 juta di seluruh dunia dengan lebih 500,000 menjadi korban akibat pandemik itu.
Dalam tempoh enam bulan sejak COVID-19 mengancam dunia, para doktor dan jururawat telah mempelajari banyak perkara tentang penyakit itu.
Menurut laporan Reuters, berikut adalah beberapa perkara yang diketahui para petugas barisan hadapan ketika memerangi COVID-19.
1) Pesakit mempunyai risiko peningkatan pembekuan darah. Penggunaan agen penipisan darah dapat membantu.
2) Meletakkan pesakit dalam posisi meniarap dapat melegakan tekanan terhadap paru-paru, sekali gus mengurangkan keperluan kepada mesin ventilator.
3) Selain sistem pernafasan dan paru-paru, COVID-19 juga menyerang banyak organ lain termasuk jantung, hati, ginjal dan otak.
4) Rawatan yang paling berkesan setakat ini ialah ubat anti-virus remdesivir, steroid dexamethasone untuk merawat tindak balas keradangan badan terhadap COVID-19, serta plasma yang disumbangkan oleh pesakit yang mempunyai antibodi terhadap penyakit itu.
5) Ujian lebih meluas dan keputusan lebih pantas dapat membantu mengurangkan tekanan di hospital.
6) Perkongsian maklumat dalam kalangan profesional kesihatan seluruh dunia sangat penting.
7) Pencegahan adalah sangat penting kerana petugas kesihatan bergantung kepada orang ramai dalam menjaga kebersihan selain memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.
Walaupun dunia telah mengharungi pandemik ini lebih enam bulan, namun masih banyak yang belum diketahui tentang virus yang menyebabkan penyakit ini.
PERKARA PENTING YANG TIDAK DIKETAHUI
1) Rawatan paling berkesan untuk merawat COVID-19
2) Kepantasan menyalurkan ubat dan rawatan secara meluas
3) Jangka masa pesakit COVID-19 akan pulih
4) Kesan jangka panjang akibat jangkitan COVID-19
Dunia masih jauh dalam usaha menemukan penawar penyakit COVID-19.
Oleh itu, lakukan peranan anda untuk mencegah dan memastikan diri dan keluarga terpelihara.