Setahun memperingati tragedi bot terbalik Sungai Danube
Agensi
Mei 29, 2020 21:46 MYT
Mei 29, 2020 21:46 MYT
Satu upacara peringatan diadakan pada Jumaat sebagai ulang tahun pertama nahas Sungai Danube yang menyaksikan lebih 20 pelancong Korea Selatan terkorban selepas bot persiaran mereka bertembung dengan kapal pesiaran sungai.
Sekurang-kurangnya 25 dari 33 pelancong Korea Selatan maut ketika bot Hableany terbalik dan tenggelam pada malam 29 Mei 2019.
Selain itu, dua anak kapal juga maut sementara seorang lagi pelancong wanita dari Korea Selatan masih hilang.
Dalam upacara yang diatur pengusaha Hableany, kalungan bunga diturunkan ke dalam air dari kapal berhampiran lokasi nahas.
Peringatan rasmi kemudian diadakan dengan penyertaan pihak berkuasa dari Hungary dan Korea Selatan di tebing Sungai Danube, di kaki Jambatan Margit, yang menyaksikan Hableany dirempuh dari belakang dan oleh kapal persiaran Viking Sigyn.
Kapten kapal pesiaran itu didakwa atas tuduhan menjadi punca nahas itu, namun sesi pendakwaan ditangguhkan sehingga September susulan pandemik COVID-19.