Setahun Genosid Gaza: Terjemahkan jaringan kerjasama antarabangsa kepada tindakan bermakna

Irfan Faruqi
Oktober 10, 2024 06:30 MYT
Penduduk terpaksa berpindah dari kediaman dan kampung halaman akibat kemusnahan susulan serangan Israel tanpa jaminan keselamatan. - Gambar fail Rueters
KUALA LUMPUR: Setahun berlalu sejak serangan Israel yang telah memusnahkan infrastruktur fizikal dan membunuh jiwa rakyat Palestin, namun masih tiada tanda-tanda kekejaman zionis terhadap rakyat, wanita dan kanak-kanak ini akan berakhir.

Ringkasan AI
  • Kerjasama Antarabangsa: Malaysia disarankan untuk melibatkan Republik Ireland dan negara-negara lain seperti ASEAN, D8, dan negara-negara Selatan Global untuk memperjuangkan isu Palestin. Peranan ASEAN: ASEAN perlu mengetuai blok-blok negara lain untuk mendapatkan keamanan untuk Palestin. Peranan Masyarakat Sivil: Pertubuhan berasaskan masyarakat dan NGO pro-Palestin di negara-negara Islam dan Barat perlu meneruskan advokasi dan bantahan terhadap sokongan kepada Israel.

Meskipun warga Palestin terus cekal menghadapi tribulasi ini, meskipun ada beberapa kejayaan kecil yang terhasil melalui medium rundingan badan antarabangsa, namun kedegilan Israel masih menjadi mimpi ngeri kepada pencinta kemanusiaan.
Usaha untuk terus memberi tekanan kepada Israel ini tetap perlu dimantapkan.
Oleh yang demikian, Pengerusi Global Peaca Mission (GPM) Malaysia, Dr. Jufitri Joha berkata, Malaysia perlu melibatkan Republik Ireland sebagai rakan kerjasama yang mewakili blok negara-negara Eropah untuk memperjuangkan isu Palestin.
Jelasnya, pengalaman Ireland yang pernah dijajah dan ditindas oleh British boleh memastikan sokongan serta simpati negara tersebut terhadap genosid yang sedang berlaku.
Malaysia perlu libatkan Ireland yang pernah dijajah British, perjuangkan isu Palestin - GPM
“Kita bentuk kerjasama blok-blok (negara) yang boleh membantu kita untuk memperjuangkan isu Palestin. Contohnya, ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Negara Membangun (D8). Kita juga perlu teroka hubungan baik dengan negara-negara Selatan Global yang turut melibatkan Republik Ireland, walaupun Ireland berada dalam faksi Eropah.
“Tetapi Ireland boleh dianggap sebagai negara Global Selatan kerana mereka rasa pengalaman ditindas dan dijajah oleh British. Negara-negara seperti ini perlu dilibatkan oleh Malaysia dan berbincang mengenai tindakan bersepadu untuk memperjuangkan isu (Palestin) ini.
“Afrika Selatan, yang kita saksikan bekas Menteri Luarnya yang merupakan seorang muslim yang komited, membawa kes (genosid Israel) ke mahkamah antarabangsa. Kita juga perlu teroka kerjasama dengan negara-negara Amerika Latin,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Kedudukan Malaysia ketika ini adalah strategik memandangkan pengaruh negara semakin berkembang sejajar dengan kekuatan ekonomi yang meyakinkan. Bahkan, Malaysia akan menjadi pengerusi ASEAN yang merupakan satu blok kerjasama serantau yang menjadi buruan kuasa ekonomi besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat.
ASEAN yang aman perlu mengetuai blok-blok negara lain capai keamanan untuk Palestin – Pakar
Lanjutan itu, bercakap dalam program sama, Profesor Undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Rahmat Mohamad berkata, ASEAN perlu mengetuai blok-blok negara lain untuk mendapatkan keamanan untuk Palestin.
Jelasnya, kredibiliti yang dimiliki rantau ini yang mempunyai kepelbagaian budaya dan agama perlu dijadikan sebagai kekuatan untuk menggembleng sokongan masyarakat antarabangsa khususnya negara-negara dengan pengaruh yang besar.
"Kita menggunakan ASEAN sebagai entiti contoh yang boleh membawa kepada keamanan. Selama ini kita tidak dilihat (mampu membawa peranan itu), memandangkan rantau ini telah dikenali sebagai rantau Balkan Kedua di Timur yang akan menyaksikan berlakunya Perang Dunia Ketiga.
“Tetapi itu tidak berlaku setakat ini. Ini satu perkara yang baik yang mana ASEAN boleh menerajui atau mengetuai blok-blok negara lain untuk mendapatkan keamanaan untuk Palestin. Itu saya nampak penting,” ujarnya.
Selain peranan kerajaan dan entiti rasmi di peringkat antarabangsa, peranan pertubuhan berasaskan masyarakat juga perlu meneruskan kelantangan advokasi dalam isu Palestin secara berterusan.
Wujudkan jaringan masyarakat sivil negara-negara Islam, Barat, kekalkan momentum sokongan Palestin - Pakar
Dalam hal ini, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA) UnisZA, Ferooze Ali berkata, satu jaringan masyarakat sivil di negara-negara Islam dan negara-negara Barat perlu diwujudkan untuk mengekalkan momentum menyokong perjuangan Palestin, seterusnya menghentikan genosid yang terus berlaku.
“Kita lihat sekarang terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang pro-Palestin di negara-negara ini, dan menyuarakan pandangan mereka secara kritikal.
“Contohnya, bantahan terhadap sokongan Amerika Syarikat yang membabi-buta kepada Isreal. Mereka menyuarakan bantahan dan jalankan demonstrasi. Kita lihat gerakan ini sebagai perkembangan dalaman.
“Persoalannya ialah bagaimana kita boleh mengekalkan momentum sedia ada dan selain itu kita sebar luaskan sentimen ini negara-negara tersebut. Salah satu pendekatan yang boleh kita teroka ialah dengan mengadakan jaringan CSO di negara-negara Islam dan negara-negara barat,” jelasnya.
Dialog Tiga Penjuru: Adakah ICJ, ICC gagal sekat Israel?
#ASEAN #Zionis #Israel #Gaza #Palestin #setahun genosid Gaza
;