Sesiapa hasilkan teknologi terbaik kawal karbon, Elon Musk tawarkan hadiah AS$100 juta

Agensi
Januari 22, 2021 15:26 MYT
Musk mahu mendermakan AS$100 juta pada pihak yang berjaya muncul dengan teknologi memerangkap karbon. - Reuters
USAHAWAN bilionair dan ketua Tesla Inc, Elon Musk pada Khamis menawarkan hadiah bernilai AS$100 juta (RM400 juta) bagi sesiapa yang membangunkan teknologi terbaik untuk memerangkap pengeluaran karbon dioksida.
Perkara itu diumumkan menerusi akaun Twitternya.
Usaha mengawal dan memerangkap pengeluaran karbon yang memanaskan plannet Bumi kini menjadi perancangan kritikal dalam agenda menangani perubahan iklim.
Bagaimanapun, tidak banyak kemajuan yang dicapai menerusi teknologi buat masa ini, iaitu tumpuan hanya diberikan untuk mengurangkan pengeluaran karbon berbanding melenyapkan unsur bahaya itu dari udara.
Reuters melaporkan, Agensi Tenaga Antarabangsa pada tahun lalu memberitahu keperluan menghasilkan teknologi memerangkap karbon perlu disegerakan jika mahu mencapai paras pengeluaran sifar karbon.

Details next week

— Elon Musk (@elonmusk) January 21, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Saya akan mendermakan AS$100 juta kepada teknologi terbaik dalam memerangkap karbon. Perinciannya minggu depan,” kata Musk dalam ciapan Twitternya.
Para pegawai Tesla bagaimanapun belum memberi maklum balas lanjut tentang pemberitahuan itu.
Musk, yang dahulunya merupakan pengasas bersama syarikat pembayaran internet PayPal Holdings Inc, kini memimpin beberapa syarikat teknologi masa depan di seluruh dunia.
Selain Tesla, Musk mengetuai syarikat roket SpaceX dan Neuralink, yang membangunkan antaramuka jentera otak jalur lebar ultra tinggi untuk menghubungkan manusia dengan komputer.
Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Joe Biden, telah berikrar untuk mempercepat pembangunan teknologi memerangkap karbon sebagai sebahagian daripada usahanya mengendali perubahan iklim.
Pada Khamis, Biden menamakan Jennifer Wilcox, seorang pakar teknologi pengawalan karbon, sebagai pembantu Timbalan Setiausaha bagi tenaga fosil di Jabatan Tenaga AS.
#Elon Musk #Tesla #perubahan iklim #teknologi #karbon dioksida #pencemaran #pengeluaran karbon #Planet #Bumi
;