Sesi luar biasa Menteri Luar OIC tumpu isu kemanusiaan, ekonomi di Afghanistan
Bernama
Disember 8, 2021 04:17 MYT
Disember 8, 2021 04:17 MYT
KUALA LUMPUR: Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Islamabad pada 19 Dis akan menumpukan isu kemanusiaan dan ekonomi Afghanistan selain mencari penyelesaian untuk krisis mendesak itu, kata Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Amna Baloch.
Beliau berkata rakyat Afghanistan kini dilaporkan menghadapi kekurangan makanan dan bekalan perubatan.
"Jadi tujuan utama mesyuarat itu bukan sahaja untuk ikrar bantuan tetapi juga merangka mekanisme bagi memastikan bantuan dapat benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan," katanya pada taklimat media mengenai sesi itu di kediamannya, di sini.
Beliau berkata objektif pertemuan itu juga adalah untuk menyatakan solidariti dunia Islam terhadap rakyat Afghanistan, dan memastikan OIC sebagai suara kolektif umat Islam, memimpin ikrar bantuan kemanusiaan dan mewujudkan mekanisme sokongan.
Mesyuarat itu juga bertujuan menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap tragedi kemanusiaan di Afghanistan yang berpotensi memburukkan lagi keselamatan dan mencetuskan ketidakstabilan serantau.
Keadaan itu juga katanya boleh membawa kepada kemungkinan penghijrahan besar-besaran pelarian.
"Adalah penting bagi masyarakat antarabangsa untuk terus terlibat dengan kerajaan Afghanistan sekarang...bukan mengasingkan mereka, kerana mereka yang berkuasa hari ini," katanya.
Pakistan menerima kira-kira empat juta pelarian Afghanistan susulan pencerobohan Soviet ke atas negara yang dilanda perang itu pada Disember 1979.
Menyifatkan sesi itu sebagai "satu langkah tepat", Amna berkata selain 57 negara anggota OIC, Pakistan turut mengundang rakan antarabangsa lain, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, iaitu Amerika Syarikat, Rusia, China, Britain dan Perancis.
"Sejak 15 Ogos tahun ini, Pakistan telah cuba meningkatkan hubungan diplomatik. Perdana Menteri kita (Imran Khan) telah menghubungi pemimpin dunia. Mesej kami kepada masyarakat antarabangsa adalah untuk terus terlibat secara konstruktif dan mencari jalan untuk meringankan penderitaan rakyat Afghanistan.
"Pakistan telah menekankan perlunya langkah untuk mengurangkan sekatan kewangan dan perbankan supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan lebih berkesan," kata Amna.
Afghanistan yang sangat bergantung kepada bantuan asing, bergelut dengan krisis selepas Taliban mengambil alih pentadbiran pada 15 Ogos dan pembekuan berbilion dolar rizab bank pusat Afghanistan di luar negara.
Amna berkata Islamabad terus memberikan pelbagai bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan dan "objektif kami untuk Afghanistan yang aman, stabil, bersatu dan makmur sekali gus dapat menyumbang kepada keamanan serantau, integrasi ekonomi dan perhubungan".
Arab Saudi, selaku Pengerusi Sidang Kemuncak OIC telah mengumumkan inisiatif untuk mengadakan satu sesi khas bagi membincangkan situasi di Afghanistan.
Pakistan menyambut baik inisiatif itu dan menawarkan untuk menjadi tuan rumah seperti diumumkan Menteri Luar Shah Mahmood Qureshi pada 4 Dis.
Amna berkata sesi luar biasa pertama menteri-menteri luar OIC yang diadakan di Islamabad pada Januari 1980 juga membincangkan situasi di Afghanistan.
-- BERNAMA