Sesi khas COVID-19 Perhimpunan Agung PBB buka tirai
Astro Awani
Disember 3, 2020 07:00 MYT
Disember 3, 2020 07:00 MYT
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) membuka tirai bagi sesi khas pertama yang membincangkan pandemik COVID-19.
Presidennya, Volkan Bozkir menyeru badan dunia berkenaan supaya menunjukkan kepimpinan dan tindakan untuk menangani cabaran terbesar yang didepani dunia sekarang.
Hampir 100 pemimpin dan puluhan menteri dijadual menyampaikan ucapan pada sesi khas tersebut.
Sesi dialog bermula dengan ucapan Bozkir yang meminta supaya para kedutaan dan wakil negara berdiri bertafakur selama seminit bagi mengenang mangsa COVID-19.
Tegas Bozkir, ini masa untuk masyarakat global bertindak bersama dan bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Kami tidak bersedia untuk COVID-19, tetapi kami perlu bersedia untuk pandemik, bencana iklim atau kemelesetan ekonomi yang seterusnya,” katanya.
Pada masa sama, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengingatkan, walaupun vaksin COVID-19 akan mula tersedia dalam minggu-minggu akan datang, ia tidak dapat menghapuskan kesan buruk pandemik itu yang akan berlarutan sehingga beberapa tahun.
“Melihat ke hadapan, pemulihan COVID-19 perlu menangani kondisi sedia ada yang telah terdedah dan dijelaskan, daripada kelompangan dalam perkhidmatan asas kepada isu bumi memanas,” jelasnya.
#PBB
#COVID-19
#Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu
#pandemik
#Volkan Bozkir
#Antonio Guterres